Dibayar lebih RM2,000 di usia 17 tahun, itu satu nilai yang besar! - Maya Karin - Utusan Malaysia

Dibayar lebih RM2,000 di usia 17 tahun, itu satu nilai yang besar! – Maya Karin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon dan penyanyi, Maya Karin, 42,mendedahkan, ketika berusia 17 tahun, dia pernah menerima bayaran sebanyak RM2,086 untuk kerja cuma satu malam.

Namun, jangan ada yang tersalah faham kerana pekerjaan yang dilakukannya itu adalah ketika dia terbabit dengan sebuah filem Hollywood bertaraf box office yang berjudul Entrapment lakonan aktor terkenal antarabangsa, Sean Connery dan aktres jelita, Catherine Zeta Jones.

“500 bucks (RM2,086) untuk kerja satu malam. Untuk seseorang yang berumur 17 tahun, itu kechingg!” ciap pelakon ini di platform Twitter kelmarin.

Maya mendedahkan perkara tersebut setelah terdapat kalangan pengguna media sosial yang menanda namanya di Twitter berserta tangkap layar sedutan filem tersebut yang memaparkan kelibatnya sebagai pelakon.

Perkara tersebut telah menjadi tanda tanya ramai di kalangan pengguna dan peminatnya di media sosial yang kagum kerana Maya rupa-rupanya pernah terbabit dalam sebuah naskah hebat bertaraf Hollywood.

Pun begitu, dalam satu ciapan berkaitan, Maya dengan merendah diri memberitahu dirinya cuma terbabit sebagai pelakon tambahan sahaja untuk filem berkenaan.

“Ya betul. Itu adalah filem pertama saya semasa berusia 17 tahun. Terus masuk Hollywood. Pelakon tambahan sahaja,”katanya.

Untuk makluman, filem Entrapment merupakan sebuah filem genre aksi kriminal yang memaparkan kisah cinta antara penyiasat insurans dan penjenayah dan telah diterbitkan pada tahun 1999.

Filem arahan Jon Amiel itu sempat merakamkan babak di beberapa lokasi sekitar bandar raya Melaka dan Kuala Lumpur termasuk Menara Berkembar Petronas serta Stesen LRT Bukit Jalil (Stesen Pudu).

Maya mula mencipta nama menerusi industri perfileman tanah air menerusi naskah arahan Aziz M Osman berjudul Seri Dewi Malam pada tahun 2001.

Antara filem-filem lakonan Maya yang mengiringi populariti dan menaikkan namanya dalam industri ialah Pontianak Harum Sundal Malam, Waris Jari Hantu, 1957: Hati Malaya, Anak Halal, Duyung, Pisau Cukur, Cun dan Jwanita.
Habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya