GUA MUSANG: Suasana sambutan Deepavali bagi sebuah keluarga di sini ringkas seperti tahun lalu tetapi lebih bermakna kerana sudah dapat bertemu saudara-mara yang tinggal jauh.
Guna Suntari, 45, atau lebih mesra dengan panggilan Rani memberitahu Utusan Malaysia, ketika sambutan tahun lalu, mereka hanya mampu berhubung menerusi panggilan video kerana kekangan untuk merentas daerah dan negeri.
Dia dan suaminya, N. Munisamy bagaimanapun bertuah tidak terpisah dengan empat anak mereka berusia 11 hingga 22 tahun kerana keluarga tersebut tinggal bersama di Program Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang.
Tahun ini, kata Rani, tradisi sambutan pesta cahaya itu diteruskan dengan hidangan kuih seperti maruku, aci maruku dan tosai, memakai ‘baju raya’ serta membuat hiasan lantai tradisional, kolam.
“Walaupun zaman semakin moden, kami sekeluarga masih mengamalkan tradisi masyarakat India ketika menyambut Deepavali seperti mandi minyak dan sembahyang serta bermaafan sesama sendiri.
“Tiada kolam, tiada Deepavali. Kami sekeluarga akan menyiapkan kolam secara gotong-royong mengambil masa satu hingga dua jam menggunakan beras yang diwarnakan.
“Selain kolam, saya bersama anak perempuan memasak sendiri makanan tradisional masyarakat keturunan India seperti maruku, aci maruku dan tosai,” ujarnya ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.
Rani berkata, dalam kegembiraan menyambut pesta cahaya bersama ahli keluarga dan jiran tetangga pelbagai kaum, mereka tetap memastikan tetamu yang datang ke rumah mematuhi norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan Covid-19. – UTUSAN