PETALING JAYA: Bapa kepada Allahyarham Zulfarhan Osman pelajar Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) yang maut akibat dipukul beramai-ramai oleh rakan sekuliah yakin anak itu masih hidup jika tidak disebabkan oleh fitnah bomoh yang main serkap jarang menilik kononnya anaknya itu mencuri komputer riba.
Zulkarnain Idros berkata, anaknya itu menjadi mangsa fitnah bomoh hingga maut selepas didera termasuk ‘diseterika’ rakan sekuliah.
“Dia (bomoh) tak ada bukti, main serkap jarang, tengok mangkuk ke, ape ke…Tak ada bukti, timbul (nama) anak saya,” katanya kepada Free Malaysia Today.
Semasa perbicaraan Zulfarhan pada 16 Mei 2018, seorang bomoh, Abdullah Md Seh, yang juga bapa kepada tertuduh Muhamad Ashraf Abdullah dilaporkan memberitahu mahkamah beliau mendapat “petunjuk” bahawa Zulfarhan mencuri komputer riba.
Abdullah dilaporkan berkata, “petunjuk” itu diperoleh melalui gerak hatinya dan melihat nama mangsa timbul di pandangan.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Pada 2 November lalu menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam bekas penuntut UPNM selepas didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat ke atas Zulfarhan, empat tahun lalu.
Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.
Semuanya terlepas hukuman gantung sampai mati selepas hakim Azman Abdullah membebaskan mereka daripada tuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mengubah sabitan bawah Seksyen 304 (a) kanun sama.
Hakim turut menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap lima daripada enam penuntut (kecuali Shobirin), bersama 12 yang lain, selepas mendapati mereka bersalah mencederakan Zulfarhan. Hukuman berkua kuasa serentak.
Mereka ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala dan Luqman Hakim Shamsuri.
Tertuduh lain ialah Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Ady Sany dan Mohamad Syazwan Musa.
Zulkarnain turut mempertikaikan dakwaan atas tertudugh itu atas kesalahan membunuh tanpa niat kerana anak sulungnya yang menjadi harapan keluarga itu disiksa selama dua hari.
Katanya, dia dan isteri tidak dapat mengetepikan hakikat anak sulungnya itu diseksa selama dua hari berturut-turut.
“Ada dua hari arwah anak saya diseksa. Pada 21 dan 22 haribulan (Mei 2017). Kalau kata tanpa niat, kita boleh terima kalau 21 haribulan sahaja.
“Ini dah masuk hari kedua, adakah tanpa niat? Dua hari berturut-turut. Itulah saya sebagai bapa mempertikaikannya. Bukan pertikai keputusan mahkamah tapi niat mereka itu.
“Saya terpaksa reda. Anak saya sudah tiada. Saya pun maafkan mereka,” katanya.
Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.
Harapan Zulkarnain sekeluarga mendapatkan pengadilan kini berpaut kepada rayuan Jabatan Peguam Negara terhadap keputusan mahkamah itu.