PONTIAN: Dek kerana minat terhadap ternakan arnab, seorang eksekutif audit membuktikan tugas hakikinya tidak menghalang kepada aktiviti yang turut memberi pendapatan sampingan kepadanya selama ini.
Bermula 2019, Mohd. Rashid Jamion, 36, hanya memperuntukkan modal RM1,000 untuk memelihara sembilan ekor arnab tanpa bangsal atau pondok yang khusus di Kampung Melayu Raya, Pekan Nanas, di sini.
Namun, berkat kegigihannya berulang-alik dari Pasir Gudang untuk memantau ternakan di kampung, dia kini membina kandang dengan kos kira-kira RM8,000 bagi menempatkan arnab induk, arnab jantan, anak-anak arnab dan arnab dewasa.
“Daripada sembilan ekor arnab tersebut, ketika ini saya sudah mempunyai 156 ekor arnab induk, 16 arnab jantan dan anak arnab yang masih menyusu pula 120 ekor manakala arnab dewasa sudah mencecah 220 ekor.
“Alhamdulillah walaupun berlainan latar belakang kerjaya sebagai juruaudit di tempat kerja di Masai, saya cuba untuk memahami selok belok ternakan arnab yang mudah berbanding aktiviti ternakan lain,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.
Kata Mohd. Rashid, komitmennya itu juga membolehkan dia sering pulang ke kampung untuk menjenguk kedua-dua orang tuanya, Jamion Sahali, 74, dan ibunya, Wagiah Othman, 68, yang semakin uzur.
“Saya tinggal di Bandar Seri Alam, namun berada di ladang ternakan pada setiap hujung minggu serta pada hari Rabu bagi proses membiakkan arnab,” ujarnya yang turut menyertai kursus ternakan arnab pedaging di Batu Pahat selain di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).
Selain jualan arnab hidup baka New Zealand White dan Rex dengan harga RM100 hingga RM180 seekor, Mohd. Rashid turut menjual arnab jantan sebagai hiasan yang berharga RM150 seekor dan RM250 pula bagi arnab betina.
Mohd. Rashid menyembelih kira-kira 30 ekor arnab seminggu yang akan dijadikan sejuk beku secara usaha sama bersama rakannya yang mempunyai kemudahan tempat penyembelihan dan penyimpanan. – UTUSAN ONLINE