SHAH ALAM: Fenomena air pasang besar di negeri ini dalam keadaan terkawal dan tiada pemindahan mangsa banjir dilakukan setakat ini.
Pemantauan di Klang, Kuala Langat, Kuala Selangor dan Sabak Bernam mendapati air berada di bawah paras 5.6 meter (m) serta tidak mengakibatkan limpahan air yang teruk.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, operasi pemantauan menyeluruh itu dijalankan pihaknya bersama beberapa agensi lain bermula pukul 5 pagi tadi.
Menurut beliau, beberapa lokasi yang dikenal pasti antaranya di sekitar Kapar, Pulau Ketam, Pulau Carey, Sekinchan dan Tanjong Karang.
“Berdasarkan laporan, air pasang masih berada bawah 5.6m dan hanya sebahagian air melimpah ke kawasan berdekatan.
“Paras air bagaimanapun surut mulai pukul 6.20 pagi dan tiada pemindahan mangsa dilakukan di semua daerah terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebelum ini memaklumkan fenomena air pasang besar dijangka melanda Kedah, Perak, Selangor dan Johor empat hari sehingga Ahad ini.
Fenomena itu dikhuatiri menjadi buruk jika disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat secara serentak sehingga mengakibatkan banjir kilat serta limpahan air laut.
Sementara itu, Jalan Persekutuan di pekan Tanjong Karang turut dilimpahi air akibat fenomena berkenaan, kira-kira pukul 6.30 pagi.
Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd. Faizal Abdul Raji berkata, air dikesan memasuki longkang di sekitar kedai kawasan berkenaan sebelum melimpah ke jalan utama.
“Limpahan air turut melepasi aras jalan majlis di kawasan pesisir Sungai Tengi. Namun, tiada pusat pemindahan banjir dibuka dan keadaan masih selamat serta terkawal,” ujarnya.
Lokasi yang dipantau di Kuala Selangor antaranya Pantai Sungai Janggut, Pantai Remis, Pantai Jeram, Bagan Sungai Buloh, Bagan Pasir dan Bagan Sungai Kajang.
Bagi Sabak Bernam, ia melibatkan kawasan Bagan Sekinchan, Sungai Nibong, Sungai Haji Dorani, Pasir Panjang, Bagan Sungai Besar, Bagan Nakhoda Omar (BNO) dan Parit Baru Baroh. – UTUSAN