GEORGETOWN: Sepasang suami isteri tidak menyangka kuih warisan, dangai yang dipasarkan di gerai tepi jalan di Kampung Nelayan, Teluk Kumbar di sini, semakin mendapat sambutan terutama dalam kalangan pelancong tempatan sejak kebenaran merentas negeri 11 Oktober lalu.
Nurul Farahin Rosli, 29, dan suaminya, Muhammad Bullian Zasmy, 29, kini tidak menang tangan mengusahakan perniagaan Dangai Abang Janggut dan menerima tempahan berganda daripada pelanggan pelbagai kaum.
Wanita itu berkata, permintaan terhadap kuih tradisional tersebut semakin meningkat sehingga 80 peratus setiap hari berbanding hanya 45 peratus ketika fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Sebanyak 500 biji dangai laris dijual dalam masa dua jam selepas gerai dibuka pada pukul 4.30 petang. Rata-rata pelanggan membeli dua set atau lebih dan ada yang sanggup beratur panjang menunggu giliran di hadapan gerai.
“Malah, ada yang datang semula dari Kulim, Kedah semata-mata untuk menikmati dangai yang diperbuat daripada parutan isi kelapa putih bersama adunan tepung dan gula ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.
Dangai Abang Janggut dijual pada harga RM5 bagi setiap set yang mengandungi lima biji dangai.
Dalam pada itu, ibu kepada tiga cahaya mata itu memberitahu, dia dan suaminya memilih mewarisi perniagaan ibu mentuanya itu sejak 2018 memandangkan cara pembuatannya ringkas dan cepat.
Sebelum ini, katanya, mereka menjual dangai secara penghantaran terus ke rumah pelanggan dan di tapak pasar malam di Sungai Petani, Kedah.
“Berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) awal tahun lalu, kami terpaksa pulang ke kampung halaman di sini dan membuka semula gerai secara kecil-kecilan di hadapan rumah sehingga hari ini.
“Perniagaan dangai secara sepenuh masa sememangnya menguntungkan sekali gus dapat menampung keperluan harian kami sekeluarga,” katanya. – UTUSAN ONLINE