KUALA SELANGOR: Sebanyak dua juta bakul makanan diedarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Program Bakul Makanan (PBM) sejak dilancarkan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 1 September lalu.
Menurut Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun, pemberian bakul makanan itu juga akan diteruskan secara berperingkat termasuk bantuan selanjutnya kepada golongan sasaran berdasarkan beberapa maklumat yang diperolehi menerusi program PBM.
PBM yang telah dilancarkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal pandemik Covid-19 menjadi wadah untuk mengumpul maklumat bagi pihak kementerian memberi bantuan selanjutnya.
“Data yang dikumpul daripada PBM kita akan kumpulkan bagi melihat bantuan yang boleh disalurkan kepada keluarga susah seperti ibu tunggal.
“Jika ada ibu tunggal yang layak untuk dibantu kita akan beri sumbangan dalam bentuk modal dan kursus perniagaan seperti kerjasama bersama pemain industri dalam program Wanita Bangkit yang kita adakan hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Dokumen Pernyataan Persefahaman Bersama Rakan Strategik di Syukor Burger Selangor HQ Puncak Alam, semalam.
Terdahulu, Rina berkata, pihaknya memeterai perjanjian untuk berkolaborasi dengan lebih 30 usahawan jutawan bagi membantu program Wanita Bangkit Berniaga (WBB) selama tiga hari bermula 26 November ini.
Mengulas mengenai jumlah peserta yang direkodkan untuk program tersebut setakat ini, beliau berkata, seramai 1,744 peserta dalam kalangan surirumah, B40, M40 dan wanita yang menjadi ketua isi rumah termasuk ibu tunggal bakal menyertai program tersebut.
“Saya jangkakan seramai 2,000 wanita mampu menjana pendapatan melalui usaha KPWKM untuk mendekatkan mereka kepada platform dan peluang perniagaan atau keusahawanan di bawah inisiatif Wanita Bangkit @KPWKM.
“Dua kaedah pelaksanaan difokuskan dalam usaha ini iaitu inisiatif menjana pendapatan secara formal dan informal. Melalui sektor formal golongan wanita ini akan berpeluang bekerja dalam syarikat swasta melalui karnival kerjaya anjuran Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial(Perkeso),” ujarnya.
Sementara itu, melalui sektor informal peserta Wanita Bangkit yang berminat berniaga akan dihubungkan oleh pihak KPWKM dengan agensi kerajaan, swasta dan pemain industri jika mereka berminat menjadi pemilik bisnes, stokis dan ejen dropship. – UTUSAN