Tuntutan Pulau Batu Puteh perlu libatkan Sultan Johor, kerajaan negeri - Utusan Malaysia

Tuntutan Pulau Batu Puteh perlu libatkan Sultan Johor, kerajaan negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Keputusan kerajaan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca perlu melibatkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mungkin boleh menzahirkan pandangan Baginda dalam perkara itu.

HASSAN ABDUL KARIM

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Kesultanan Johor mempunyai hak ke atas pulau tersebut dan proses tuntutan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebelum ini tidak melibatkan Sultan Johor atau kerajaan negeri.

Malah ujar beliau, kerajaan Persekutuan tidak boleh sendirian dalam menguruskan tuntutan tersebut kerana Sultan Johor dan kerajaan negeri juga adalah pemegang taruh terhadap Pulau Batu Puteh.

“Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh berada dalam kawasan atau wilayah Johor, jadi sebarang perbincangan perlu melibatkan Sultan Johor dan kerajaan negeri, pulau ini bukan dimiliki kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Persekutuan boleh bertukar ganti. Siapa pun yang menjadi kerajaan sama ada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH), namun perbincangan perlu melibatkan kerajaan Johor.

“Ini melibatkan wilayah dan kedaulatan Johor serta Malaysia,” katanya ketika mengulas langkah kerajaan yang bersetuju pasukan petugas khas diwujudkan bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan pilihan yang bersesuaian.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, pihaknya memberi jaminan akan bekerjasama dan membantu kerajaan Persekutuan dalam mendapatkan apa-apa dokumen atau pandangan yang diperlukan jawatankuasa khas.

Sementara itu, Hassan berkata, usaha kerajaan mendapatkan semula pulau itu perlu dilakukan tanpa mengikut tempoh masa serta tidak terhenti selagi ada ruang di peringkat antarabangsa untuk mendapatkannya.

“Tuntutan tersebut perlu dilakukan dalam apa juga cara termasuk membawa kes tersebut kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), kalah atau menang itu adalah perkara kedua.

“Pulau Batu Puteh sudah lama wujud, sebelum Singapura wujud lagi dan merupakan sebahagian daripada Johor sebelum diserahkan kepada pihak British. Jadi dari segi sejarahnya pun kita tahu logiknya, pulau ini milik Johor.

“Jika Malaysia kalah dalam tuntutan Pulau Batu Puteh, ini akan menjadi dorongan kerajaan Singapura untuk membuat tuntutan yang sama terhadap Pulau Pisang di Pontian yang kini masih menjadi milik kita,” ujarnya.

Beliau berkata, ketika ini Singapura masih mengendalikan rumah api di Pulau Pisang dan tidak mustahil kejayaan republik itu mendapatkan Pulau Batu Puteh akan memberi motivasi yang sama kepada mereka untuk merebut Pulau Pisang.

“Kita perlu ingat ini berkaitan kedaulatan negara, apabila mereka mendapat sesuatu pulau, bukan sahaja pulau itu milik mereka tetapi juga keseluruhan perairan di pulau tersebut,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya