PUTRAJAYA: Tempat kerja dan kluster berkaitan pendidikan mencatatkan kluster Covid-19 terbanyak dengan masing-masing empat kluster manakala komuniti, dua kluster dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kluster berkaitan pendidikan melibatkan dua pendidikan tinggi iaitu di Kelantan dan Melaka dengan masing-masing satu kluster manakala pendidikan lain, satu di Pulau Pinang dan satu di Johor.
Menurut beliau, tempat kerja pula, Johor, Negeri Sembilan, Pahang dan Selangor, masing-masing merekodkan satu kluster.
“Komuniti pula dua kluster di Selangor dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi di Pulau Pinang.
“Jumlah terbabit menjadikan keseluruhan kluster aktif sebanyak 460 kluster manakala 5,303 kluster yang telah tamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, Malaysia mencatatkan sedikit penurunan kes positif Covid-19 iaitu 6,060 kes berbanding semalam, 6,377 kes sekali gus diatasi 7,297 kes sembuh.
Selain itu, katanya, sebanyak 570 kes Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 300 kes memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP).
“Daripada 6,060 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 105 kes (1.7 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima.
“Bakinya, 5,955 kes (98.3 peratus) adalah terdiri daripada kategori satu dan dua,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, Malaysia semalam, mencatatkan sedikit penurunan iaitu 95 kes berbanding kelmarin, 98 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 6 petang, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 28,769 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak 24 daripada 95 kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak 5,827 kes.- UTUSAN