GEORGETOWN: Tempahan bilik hotel terutama di kawasan pantai peranginan di negeri ini belum memberangsangkan ekoran hanya pelancongan dalam negeri sama dibenarkan pada masa ini.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Pulau Pinang, K. Raj Kumar berkata, tempahan bilik yang diterima sejak minggu lalu bagi hotel di kawasan pantai peranginan popular sekitar lima hingga 20 peratus sahaja.
“Masih lagi perlahan (tempahan bilik hotel), ada yang terima tempahan tidak lebih daripada 20 peratus. Jadi pemain industri di sini masih berhati-hati untuk membuka perniagaan.
“Masing-masing tidak mahu mengambil risiko selepas buka sepenuhnya operasi nanti terpaksa tutup pula jika situasi tidak mengizinkan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Kebenaran rentas negeri untuk aktiviti pelancongan buat masa sekarang hanya dibenarkan melalui Gelembung Pelancongan Langkawi dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang diwartakan Majlis Keselamatan Negara (MKN).Menurut Raj Kumar, MAH Pulau Pinang berharap pelancongan rentas negeri dibenarkan tidak lama lagi selepas Pulau Pinang mencapai 80 peratus individu dewasa divaksin.
“Pulau Pinang sedang bergerak ke arah itu (80 peratus divaksin) dan kami berharap pertengahan bulan ini sasaran berkenaan dapat dicapai,” katanya.
Dalam pada itu , katanya, kejayaan Gelembung Pelancongan Langkawi memberi petanda positif kepada industri pelancongan negeri ini untuk terus bertahan dan menanti waktu sesuai untuk beroperasi semula.
“Kita telah lama menanti, kalau buka tergesa-gesa kepada pelancong pun kita bimbang jika ada impak dari segi kesihatan awam.
“Sekarang kita pastikan semua pihak bersedia dan kami mengalu-alukan kedatangan pelancong ke Pulau Pinang selepas ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE