KLUANG: Kehilangan pekerjaan mendorong seorang pemuda kembali ke kampung halamannya dan menjadikan Sungai Kahang yang kaya dengan khazanah bernilai tinggi sebagai lubuk mencari rezeki.
Mohd. Syahrul Ikmal Abu Othman, 26, kini menjadi pembekal ikan sungai seperti baung, patin, jelawat, kelabau, lampam dan udang galah kepada beberapa restoran di daerah ini dan Negeri Sembilan serta Kuala Lumpur.
Dia yang sebelum ini hidup berkelana di Kuala Lumpur dan kemudian menjadi ahli majlis di salah sebuah pihak berkuasa tempatan di sini, tidak menyangka keputusan kembali semula ke Kahang, di sini membuka pintu rezeki lebih baik.
“Kerana desakan untuk menanggung nafkah hidup keluarga termasuk isteri dan anak dalam kandungan, saya bertekad bergelumang dengan jaring dan lukah di sungai demi mencari rezeki.
“Saya melihat potensi pendapatan yang ada dan memang minat berniaga. Sejak itu, saya mula belajar selok-belok sungai daripada rakan-rakan dan Orang Asli di Kahang ini.
“Alhamdulillah, saya kini mempunyai 10 pekerja yang bersama-sama ke sungai mencari hasil sungai,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.
Menurut Mohd. Syahrul Ikmal, dia kini menjadi pembekal kepada restoran sekitar daerah ini selain memasarkan hasil sungai sejuk beku mengikut permintaan ke Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.
Katanya, keistimewaan Sungai Kahang adalah kerana dikelilingi rimba semula jadi dan belum tercemar, malah dia pernah bernasib baik kerana memperoleh ikan kelisa serta kelah merah yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran.
“Kebiasaannya ikan kelisa dan kelah ini dibela oleh peminatnya dan hasil jualan seekor sahaja boleh mencecah ratusan hingga ribuan ringgit. Saya pernah menjual ikan tapah seberat 65 kilogram awal tahun lepas.
“Selain itu pernah menangkap ikan temoleh seberat kira-kira 10 kilogram iaitu spesies ikan yang dikatakan baru wujud di sini oleh seorang penyelidik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),” katanya.
Kata pemuda itu, jiwanya kini sangat mencintai kehidupan kampung dan menjadikan khazanah alam sebagai punca rezeki sampingan termasuk mencari hasil hutan seperti petai dan madu lebah liar mengikut musim.
Dia turut menyediakan perkhidmatan menyiang ikan kepada pelanggan di gerainya selain menjual produk sejuk beku serta ikan masin pekasam dari spesies ikan putih, terubol dan lampam yang dijual RM5 untuk setengah kilogram.
“Saya turun ke sungai bersama anak-anak buah setiap hari selepas Subuh dan naik ke darat kira-kira pukul 10 pagi untuk berniaga ikan liar yang ditangkap,” katanya yang boleh dihubungi di talian 019-734 9263. – UTUSAN ONLINE