Sultan Ibrahim kesal sampah dibuang dalam saliran air - Utusan Malaysia

Sultan Ibrahim kesal sampah dibuang dalam saliran air

ANTARA gambar yang dipersembah kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengenai pembuangan sampah di saliran air sekitar Johor Bahru, Johor. - UTUSAN ONLINE 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang gemar membuang sampah di dalam longkang, parit dan sungai hingga menjejaskan saliran air terutama pada musim hujan di kawasan bandaraya Johor Bahru.

Baginda bertitah, hasil siasatan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mendapati, banjir kilat melanda kawasan bandar raya pada bulan lalu berpunca akibat sistem saliran tersumbat disebabkan sampah sarap dan sisa binaan.

Titah Sultan Johor, masyarakat seharusnya lebih bertanggungjawab dengan tidak membuang sampah dalam saliran mahupun sungai.

“Ia berpunca daripada sikap segelintir masyarakat yang gemar membuang sampah ke dalam sungai, parit dan longkang. Apabila turunnya hujan dalam jumlah yang besar dan tempoh yang lama, maka banjir kilat pasti tidak dapat dielakkan.

“Saya ada melihat gambar-gambar dan rakaman video yang ditunjukkan oleh Datuk Bandar MBJB. Terdapat begitu banyak sampah dibuang termasuk tilam, kayu dan juga peti sejuk. Amat mengecewakan.

“Perbuatan seperti ini kelak menyumbang kepada berlakunya banjir,” titah Sultan Johor kepada Royal Press Office (RPO).

Laporan dan gambar-gambar hasil siasatan MBJB dipersembah kepada Sultan Johor oleh Datuk Bandar MBJB, Datuk Noorazam Osman di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru, baru-baru ini.

Sebelum ini, Sultan Ibrahim menitahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor serta pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya menjalankan kajian di semua kawasan yang kerap berlaku banjir kilat di Johor.

Sementara itu, Noorazam memberitahu, pihaknya melaksanakan kerja-kerja pembersihan di lokasi yang terlibat dengan membersihkan halangan di dalam parit, longkang serta saliran utama. 

“MBJB memperuntukkan RM6 juta untuk penyelenggaraan sungai dan longkang setiap tahun. Sikap segelintir rakyat kita amat dikesali.

“Saya juga telah mengadakan lawatan ke lokasi-lokasi hotspot banjir bagi merangka tindakan penyelesaian komprehensif melibatkan tindakan penyelesaian segera, sederhana dan jangka masa panjang bagi mengatasi masalah banjir,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya