Rakyat Malaysia membaca tidak lebih 3 jam seminggu - Utusan Malaysia

Rakyat Malaysia membaca tidak lebih 3 jam seminggu

AHMAD Hamzah (tengah) bersama Mohamad Zabawi Abdul Ghani (kiri) menunjukkan buku terbitan MARDI selepas majlis pelancarannya di Serdang hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG : Rakyat Malaysia meluangkan masa untuk membaca tidak lebih tiga jam seminggu berbanding rakyat India yang mencatatkan angka tertinggi iaitu melebihi 10 jam dalam tempoh yang sama.

Ia diikuti rakyat Thailand dan China yang rata-rata membaca selama lapan hingga sembilan jam dalam tempoh yang sama.

Berkongsi statistik terbaharu menerusi World Culture Score Index itu Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 , Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, realiti yang agak menyedihkan ialah Malaysia tidak termasuk dalam senarai tersebut.

“Budaya membaca di Malaysia tidak melebihi tiga jam seminggu,” katanya pada  Majlis Pelancaran Buku Terbitan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sempena Hari Inovasi MARDI 2021 di sini,  hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani. 

Beliau berkata, kajian profil membaca yang dijalankan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada 2005 pula mendapati rakyat Malaysia hanya membaca dua naskhah buku setahun.

Bagaimanapun angka itu meningkat kepada 15 naskhah pada  2014 berdasarkan laporan kajian interim tabiat membaca rakyat Malaysia, namun  ia masih lagi rendah berbanding 40 judul buku setahun di negara maju.

“Jenis buku yang paling popular dalam kalangan pembaca Malaysia adalah berbentuk fiksyen (76 peratus),  hobi dan minat (53 peratus), bukan fiksyen (36 peratus), perniagaan (18 peratus),   ulasan saintifik dan buku teks (18 peratus) dan sains popular sebanyak 15 peratus,” ujarnya.

Beliau berkata, pembacaan yang banyak dapat mempertingkatkan kecerdasan emosi (EQ) dan tahap kecerdasan intelektual (IQ) seseorang. 

Kedua-dua unsur kecerdasan itu kata beliau, amat penting bagi membolehkan seseorang itu menguasai pelbagai keadaan dan merebut peluang yang ada bagi pembangunan diri dan masyarakat.

Menurut beliau, walaupun buku bercetak masih mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat, namun sumber bacaan dalam medium digital juga semakin diminati ramai terutamanya golongan muda kerana ia mudah diperoleh dan boleh dibaca pada bila-bila masa dan di mana sahaja. 

Justeru beliau menggesa pegawai MARDI perlu lebih proaktif dalam penulisan dan penerbitan dalam bentuk digital

Penerbitan sama ada dalam bentuk bercetak atau digital menjadi bukti sumbangan dan kerja kuat MARDI dalam membangunkan dan meningkatkan sektor pertanian negara. 

“Di samping itu, menerusi penerbitan, MARDI dapat menyebarluas teknologi terkini dan inovasi yang telah dihasilkan untuk tatapan seluruh masyarakat Malaysia. 

Penerbitan ini juga akan menjadi inspirasi kepada pegawai dan kakitangan MARDI dalam menghasilkan lebih banyak lagi penerbitan yang boleh dijadikan rujukan dan panduan untuk pemegang taruh dan kumpulan sasar.

Buku pertama yang bakal dilancarkan bertajuk MARDI Advancing Agriculture Through Innovation merupakan sebuah terbitan yang melaporkan hasil penemuan dan pencapaian R&D MARDI sepanjang Rancangan Malaysia Ke-11, dari tahun 2016 hingga 2020.

Antara intipati utama laporan RMK-11 MARDI ini adalah mengenai peningkatan produktiviti dan daya tahan komoditi terpilih di sepanjang nilai rantaian.

Hal ini dikupas secara mendalam melalui pemilihan varieti yang terbaik, amalan agronomi yang lebih lestari dan mesra alam, pengurangan kehilangan dan sisa lepas tuai, pengurusan perosak dan penyakit yang lebih berkesan.

Penggunaan teknologi terkini seperti mekanisasi dan sistem canggih, Internet of things (IoT), bioteknologi dan nanoteknologi, bioprospek dan penggunaan sumber alam yang kaya dengan flora dan fauna, produk pertanian dan makanan yang terbaharu dan berinovatif, serta aktiviti pemindahan teknologi yang lebih mapan. 

Buku seterusnya bertajuk Making an Impact in The Agrofood Industry: MARDI ‘s Research 20 Years On memuatkan impak teknologi MARDI yang dihasilkan oleh saintis MARDI terhadap ekonomi, alam sekitar dan kesihatan dalam tempoh 20 tahun lalu bermula pada 2001 sehingga 2020.

Buku ketiga adalah Buletin Pemindahan Teknologi MARDI yang menghimpunkan artikel yang ditulis oleh pegawai penyelidik agensi berkenaan

Buku keempat  adalah Prosiding MSTE 2021 yang merupakan dokumen penerbitan berwasit (refereed) yang mengandungi kertas kerja saintifik terkini hasil penyelidikan dan inovasi peserta-peserta Pameran Sains dan Teknologi MARDI pada tahun 2021. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya