Setiap menjelangnya musim perayaan utama di Malaysia, pasti akan ada pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP). SHMMP akan menyenaraikan senarai barangan yang dikawal, harga maksimum yang diwartakan dan jangka masa pelaksanaan SHMMP bagi perayaan tersebut.
Pengguna dan peniaga akan ternanti-nanti apakah barangan yang tersenarai dan berapakah harga maksimum bagi setiap barang tersebut. Pengguna mungkin suka tetapi tidak kepada peniaga.
Pemimpin politik pula terutama pembangkang hanya melihat dari sudut bilangan barangan yang dikawal dan berapa hari pelaksanaannya. Ia kemudiannya dijadikan isu seolah-olah bilangan barang, harga kawalan dan hari pelaksanaan menjadi kayu ukur dan tentunya mengelirukan pengguna.
Sebenarnya bilangan barangan dan harga semasa kawalan tidak penting. Yang utama ialah kesannya kepada pengguna terutama selepas pelaksanaan skim tersebut.Kerajaan sekarang merasakan kita perlu lihat isu ini dengan lebih teliti supaya pengguna dan peniaga tidak tertekan.
Ada di kalangan peniaga akan mengambil kesempatan menaikkan harga sebelum supaya harga kawalan semasa SHMMP berpihak kepada mereka. Akan ada pula peniaga yang akan simpan stok dan menjualnya lepas SHMMP dengan harga yang tinggi kerana nak menampung kerugian yang dialami sebelum ini.
Mengikut data sejak 2010, bilangan tertinggi barangan yang disenaraikan dalam sesuatu SHMMP adalah 32 iaitu semasa perayaan Hari Raya Puasa pada 2021 dan jangka masa paling lama pelaksanaan SHMMP adalah 30 hari iaitu semasa Hari Raya Puasa 2021 dan 2019.
Dalam satu kajian bebas yang dijalankan tahun ini melibatkan 1,074 responden terdiri daripada pengguna dan peniaga pelbagai demografi, mendapati bahawa jika SHMMP hendak diteruskan, ia mestilah diubahsuai di mana bilangan barang yang akan disenarai dikecilkan memberi fokus kepada barang yang betul-betul perlu dan signifikan bagi perayaan tersebut dan jangka masanya dipendekkan.
Harga Terkawal bukan Harga Kawalan
Sebenarnya, yang diperlukan oleh pengguna dan peniaga adalah HARGA TERKAWAL bukan HARGA KAWALAN. Harga Kawalan ialah penetapan pada harga tertentu di mana semua peniaga harus mematuhi pewartaan harga tersebut. Dengan sendirinya hilanglah persaingan sedangkan persaingan amat diperlukan untuk merancakkan pasaran dan ekonomi serta menguntungkan pengguna terutama di waktu penawaran dan bekalan stabil.
Pengguna tidak sedar, ada premis yang selama ini menjual sesuatu barang di bawah harga maksimum akan menaikkan harga mereka ke tahap maksimum. Kenapa tidak? Harga maksimum adalah harga yang telah diwartakan dan sah dari segi undang-undang. Keuntungan mudah bagi mereka!
Jika semua peniaga menaikkan atau menurunkan ke tahap harga kawalan maksimum, pada ketika itu, pengguna sudah tidak ada pilihan. Seolah-olah terjadi kartel harga pula.
Harga Terkawal pula ialah harga sesuatu barang dalam julat yang terkawal dan seimbang mengambilkira kepentingan pengguna dan peniaga. Setiap rantaian bekalan dari pengeluar hingga peruncit mempunyai margin munasabah tidak mencekik darah dan natijahnya, pengguna mendapat pelbagai pilihan harga mengikut citarasa dan kemampuan mereka.
Inilah pasaran bebas yang sihat di mana pelasaran harga mengikut pasaran berdasarkan penawaran dan permintaan. Pengguna bijak akan membuat penyesuaian jika penawaran bekalan kurang dengan beralih kepada produk alternatif yang dengan sendirinya akan memberi kesan terhadap permintaan sesuatu barang tersebut.
Jika sesuatu situasi luar biasa amat menekan dan tidak terkawal seperti kekurangan barangan utama dan alternatif yang berpanjangan, atau berlaku pencatutan, peniaga menyorok barang atau kartel harga, sudah pasti pada ketika itu Kerajaan akan melakukan intervensi melalui AKTA KAWALAN HARGA DAN ANTI PENCATUTAN 2011 (AKHAP), AKTA KAWALAN BEKALAN 1961 dan AKTA PERSAINGAN 2010 (AKTA 712).
Sudah tiba masanya kita sebagai ahli Keluarga Malaysia bertindak secara bijak dan berani demi negara. Pasca pandemik ini boleh dijadikan papan luncur untuk menggerakkan pasaran yang sihat dalam menstabilkan bekalan dan harga barang negara. – UTUSAN