PUTRAJAYA: Datin Seri Rosmah Mansor gagal pada saat-saat akhir untuk menangguhkan perbicaraan kes rasuah berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion di Sarawak, selepas permohonannya ditolak oleh Mahkamah Rayuan hari ini.
Sehubungan itu, prosiding perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini akan diteruskan di Mahkamah Tinggi esok dengan mendengar keterangan saksi-saksi pembelaan termasuk isteri bekas Perdana Menteri.
Perkara itu ditentukan secara sebulat suara oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Kamaludin Md. Said yang bersidang bersama Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hashim Hamzah.
Hakim Kamaludin menolak permohonan Rosmah selepas berpuas hati tiada keadaan istimewa yang mewajarkan pendengarannya ditangguhkan.
Beliau berpendapat, prosiding di Mahkamah Tinggi tidak memprejudiskan Rosmah kerana pada masa yang sama, sebarang rayuan berbangkit boleh didengar dan dipercepatkan.
Ketika menyampaikan keputusan itu, panel tersebut terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu yang menyatakan isu perbicaraan terbatal, bukan keadaan istimewa yang membolehkan penangguhan dibenarkan.
Hakim Kamaludin menjelaskan, keputusan itu termasuk melibatkan permohonan suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.
Ujarnya, prinsip undang-undang bagi melepasi ambang (threshold) untuk menentukan sesuatu permohonan itu dibenarkan atau sebaliknya, telah dipatuhi oleh mahkamah terdahulu.
Sebelum itu, mahkamah mendengar penghujahan peguam Rosmah untuk menangguhkan prosiding atas alasan keseluruhan perbicaraan terbatal yang mewujudkan keadaan istimewa iaitu isu-isu yang dibangkitkan perlu dilupuskan terlebih dahulu.
Peguam-peguam Datuk Jagjit Singh dan Datuk Akberdin Abdul Kader berhujah bagi pihak Rosmah selaku pemohon manakala Datuk Seri Gopal Sri Ram berhujah bagi pihak pendakwaan.
Ketika mahkamah mula bersidang, Sri Ram mengemukakan bantahan awal atas alasan panel tersebut tidak mempunyai bidang kuasa mendengarnya dan memohon notis usul itu dibatalkan.
Bagaimanapun, panel itu menolak permohonan tersebut dan memutuskan ia mempunyai bidang kuasa serta memerintahkan pihak-pihak berhujah.
Sementara itu, Akberdin memberitahu pihak media, pasukannya memfailkan rayuan keputusan panel itu ke Mahkamah Persekutuan hari ini.
Rosmah, 69, memohon perbicaraan esok ditangguhkan sementara menunggu rayuan beliau terhadap keputusan Hakim Mohamed Zaini Mazlan pada 24 September lalu menolak permohonannya untuk membatalkan perbicaraan kes itu, dilupuskan.
Rayuan itu juga berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk menggugurkan Sri Ram mengendalikan kesnya sebagai ketua pendakwaan.
Sewaktu menolak permohonan itu, Hakim Mohamed Zaini berkata, Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas bertindak berlandaskan undang-undang yang betul di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Tatacara Jenayah ketika melantik Sri Ram menjalankan pendakwaan.
Pihak pembelaan sebelum ini mendakwa pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya bagi mengendalikan kes rasuah dihadapinya, adalah tidak sah dan terbatal.
Rosmah sedang dibicarakan kerana meminta suapan RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin berkaitan projek tenaga solar itu menerusi bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor.
Ia sebagai balasan kerana membantu Jepak Holdings memperoleh Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel untuk 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan secara rundingan terus.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini; di kediaman Rosmah di Jalan Langgak Duta, Taman Duta serta di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017. -UTUSAN ONLINE