SHAH ALAM: Seorang peniaga dalam talian ditahan pihak berkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam satu serbuan terhadap sebuah premis di Batu Caves, Gombak pada Khamis lepas kerana menjual barangan tiruan dan menggunakan cap dagang tidak sah.
Dalam serbuan berkenaan, sejumlah 3,110 unit jenis beg sandang telah dirampas dan beberapa dokumen urus niaga lain turut disita bagi tujuan siasatan.
Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhammad Zikril Azan Abdullah dalam satu kenyataan memberitahu, suatu pemeriksaan serbuan telah dilaksanakan ke sebuah premis yang dijadikan stor penyimpanan dan pusat pengurusan jualan barangan secara atas talian
“Berdasarkan hasil pengesahan awal ke atas barangan yang dijumpai di premis yang diserbu disyaki barangan menggunakan cap dagang tanpa kebenaran pemilik cap dagang. Pengesahan ini dibuat oleh wakil cap dagang yang hadir bersama semasa serbuan dijalankan.
“Peniaga itu ditahan dalam serbuan dan rakaman percakapan diambil bagi tujuan siasatan. Lelaki terbabit merupakan pemilik barangan yang disyaki menggunakan cap dagang tanpa kebenaran pemilik cap dagang,” katanya.
Tambahnya, nilai barangan yang dirampas itu adalah berjumlah RM31,100.
Susulan serbuan, satu kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019, iaitu mempunyai dalam kawalannya bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.
Jika sabit kesalahan peniaga terbabit boleh didenda tidak melebihi RM10,000.00 bagi setiap barang atau dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya .
Bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM15,000.00 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan cap dagangan berdaftar.
Dalam pada itu, Muhammad Zikril turut memberi amaran kepada peniaga supaya tidak menjual barangan yang menggunakan cap dagang secara tidak sah tanpa mengira platform penjualan sama ada dalam talian ataupun di kedai.
“Individu atau syarikat perlu lebih bertanggungjawab dalam menjalankan aktiviti perniagaan sama ada secara dalam talian mahupun fizikal. Jalankan perniagaan secara beretika dan tidak sama sekali mencuri hak harta intelek pihak lain demi menjana keuntungan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung salah laku peniaga yang tidak beretika seperti ini boleh mengemukakan aduan melalui saluran rasmi seperti portal e-aduan.kpdnhep, pusat panggilan 1-800-886-800, e-mel [email protected] atau hubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245 atau Whatsapp 019-279 4317,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE