PETALING JAYA: Kerajaan digesa membenarkan kemasukan pekerja asing dalam sektor pembinaan dan pertanian berikutan kebergantungannya terhadap pekerja asing mencecah sehingga 70 peratus.
Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Soam Heng Choon berkata, sektor pembinaan memerlukan tenaga kerja asing berikutan pekerja tempatan tidak berminat dengan kekosongan pekerjaan yang ada.
Katanya, ini kerana tenaga kerja pada sektor pembinaan sudah berkurang 40 peratus dan kekosongan itu kebanyakannya adalah daripada pekerja asing yang digajikan sebelum ini.
“Kita memang tak setuju jika kekosongan pekerjaan yang boleh dibuat oleh warga tempatan itu digantikan dengan pekerja asing, tetapi kerja yang dikategorikan sebagai 3D (kotor, bahaya dan sukar) memang tiada warga tempatan yang mahu buat.
“Ada yang kata disebabkan gaji rendah tetapi gaji harian dalam pembinaan sekurang-kurangnya RM50 sehingga RM80 sehari, maka mungkin boleh dapat RM1,500 sehingga RM2,000 lebih sebulan.
“REHDA terbuka dengan pekerja tempatan tetapi sekarang tiada yang mahu bekerja. Jika ada hanya bertahan seminggu dua sebelum larikan diri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar melaporkan, Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 bersetuju dengan cadangan prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pekerja asing ke Malaysia khususnya bagi memenuhi keperluan sektor perladangan seperti yang dibentangkan Kementerian Sumber Manusia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, SOP itu akan dikuatkuasakan kepada semua sektor yang ditetapkan dan diluluskan mengikut kes oleh Jawatankuasa Pekerja Asing
yang dipengerusikan bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.
Menurut Heng Choon, kekosongan tenaga kerja yang dihadapi sektor pembinaan masa kini memberikan permasalahan untuk menyiapkan projek dengan efisiensi dalam masa ditetapkan.
“Ada projek yang sepatutnya siap dalam lima bulan contohnya, tetapi kini perlu ambil masa sehingga tujuh bulan kerana kekurangan pekerja, jadi tiada efisiensi dan kos juga naik,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Pertubuhan Gerak Tani Negeri Johor, Datuk Mazlan Aliman berkata, soal pekerja asing sememangnya sesuatu yang sangat merisaukan kerana memberi kesan kepada sektor pertanian.
Katanya, ini kerana kebergantungan pekerja asing terhadap sektor pertanian terutama pertanian tradisional ini mencapai sehingga 70 peratus.
“Kita kena akui tak mudah mendapat pekerja tempatan, jadi kelonggaran kepada sektor pertanian untuk pekerja asing sangat diperlukan,” katanya.
Tambah beliau, kemasukan pekerja asing selama ini juga semangnya menyumbang kepada aktiviti pertanian terutama tanaman yang menggunakan kaedah secara manual.
“Bagi sektor pertanian yang dibuat secara manual seperti sayur, banyak tempat masih menggunakan kaedah tradisional yang sangat dikuasai oleh pekerja asing berbanding warga tempatan khususnya anak muda.
“Jika ada anak tempatan yang bekerja di sektor ini pun, itu mungkin disebabkan turun temurun dari ahli keluarganya,” katanya. – UTUSAN ONLINE