ALOR SETAR: Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan melaksanakan Pelan Transformasi Digital Pendidikan Awal Kanak-Kanak di 11,000 Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Kemas di seluruh negara, bermula tahun depan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pelan transformasi digital itu diharap menjadi aspirasi pembangunan bakat digital kanak-kanak di Tabika Kemas.
Menurut beliau, usaha itu dijangka memberi manfaat kepada hampir 200,000 kanak-kanak yang belajar di Tabika Kemas pada masa akan datang.
“Pelan ini merangkumi beberapa strategi antaranya memperluaskan pembekalan peralatan digital seperti televisyen pintar, komputer dan akses internet bagi mewujudkan persekitaran digital Tabika Kemas.
“Pelan itu juga akan memperkasakan pembangunan kandungan bahan pengajaran dan pembelajaran digital melalui kerjasama strategik pelbagai pihak,” kata beliau selepas menyempurnakan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Hari Potensi Tabika Kemas Peringkat Kebangsaan 2021 di Hotel Raia di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohamad Yasid Bidin dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi Kemas, Ahmad Kamal Idris Mohd. Nawawi.
Mengulas mengenai nasib kira-kira 10,000 pembantu Tabika Kemas yang hanya memiliki pendapatan kira-kira RM500 sebulan ketika ini, Mahdzir berkata, kertas kerja bagi menaikkan bayaran mereka telah disiapkan oleh pihak Kemas untuk diangkat ke peringkat lebih tinggi.
“Mereka ini asalnya sukarelawan yang datang membantu di tabika. Dulu mereka mungkin datang sebentar dan membantu memasak pada waktu tengah hari saja.
“Tetapi kini mereka datang bersama dengan guru tabika dan menjalankan tugas-tugas lain juga. Jadi sudah tentu jumlah elaun itu tidak lagi sesuai pada zaman sekarang dan kita akan cuba sesuaikan elaun berkenaan,” katanya.- UTUSAN