PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan institusi pendidikan bawah KPM yang mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa beroperasi tanpa penggiliran mulai 8 November ini.
KPM dalam kenyataan berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara dengan mengambil kira kadar vaksinasi dalam kalangan murid kelas peperiksaan.
Menurut beliau, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa hadir tanpa penggiliran melibatkan bagi negeri Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan negeri Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).
“Pengoperasian bagi negeri Kumpulan A juga bermula pada 8 November kerana 7 November adalah cuti tambahan sempena perayaan Deepavali yang diperuntukkan dalam Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021 bagi sekolah bawah KPM.
“Pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM bagi kelas peperiksaan awam dan antarabangsa melibatkan kehadiran murid kelas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Vokasional Malaysia, Sijil Tinggi Agama Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia serta kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBD) dan murid kelas peperiksaan antarabangsa yang lain,” kata beliau hari ini.
Menurut KPM, bagi institusi pendidikan yang belum mencapai peratusan kadar vaksinasi lengkap, pengoperasian kekal secara penggiliran.
Bagaimanapun, katanya, murid prauniversiti semester 3 di Sekolah Sukan Malaysia, murid kelas peperiksaan awam di sekolah berasrama sepenuhnya dan murid kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBD) kekal hadir tanpa penggiliran.
Katanya, KPM akan terus memantau dan mengemas kini senarai institusi pendidikan yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa.
“KPM akan mengeluarkan senarai terkini institusi pendidikan bawah KPM yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus pada setiap hari Rabu.
“Justeru, mana-mana institusi pendidikan yang mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih akan dikeluarkan daripada senarai tersebut dan institusi boleh mula beroperasi tanpa penggiliran pada hari Ahad/Isnin minggu berikutnya,” katanya.- UTUSAN