Pantai Murni Waterfront terbiar - Utusan Malaysia

Pantai Murni Waterfront terbiar

KEADAAN sekitar Pantai Murni Waterfront yang berada dalam keadaan terbiar di Pantai Murni, Yan, Kedah. - UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Pengunjung Pantai Murni Waterfront di sini, kecewa apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mengambil inisiatif menyelenggara kawasan itu sejak setahun lalu.

Keadaan tersebut menyebabkan kemudahan di kawasan tersebut yang dirasmikan pada 2017 rosak dan usang serta dipenuhi sampah sarap sehingga mencacatkan pemandangan.

Antara kemudahan yang terdapat di kawasan tumpuan pengunjung di pantai itu ialah siar kaki di tepi pantai, kawasan rehat berbumbung dan jambatan sepanjang kira-kira 1.5 kilometer (km) serta medan selera.

Seorang pengunjung, Abdul Rashid Ali, 45, dari Alor Setar berkata, PBT sepatutnya prihatin menjaga kawasan Pantai Murni Waterfront kerana pembangunannya melibatkan kos tinggi.

“Kawasan ini adalah satu-satunya lokasi tepi laut yang cantik pemandangan dan tempat sesuai membawa keluarga beriadah.

“Tetapi pelbagai kemudahan disediakan rosak dan tidak diselenggara dengan sempurna hingga boleh membahayakan pengunjung terutama kanak-kanak,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Pekerja swasta, Mariam Ahmad, 53, dari Sungai Petani berkata, dia mendapati sebuah kaunter besi di kawasan itu dibiarkan dalam keadaan rosak dan kotor.

“Kaunter besi itu sangat berbahaya kepada pengunjung kerana berada dalam keadaan usang dan berkarat.

“Malah kaunter itu kini dipenuhi bekas dan sisa makanan, selain berbau busuk dengan najis kucing,” ujarnya.

Seorang peniaga, Wahab Abd. Rahman, 55, dari Gurun, pula hairan apabila sebuah jambatan itu dibina di pantai itu tidak dibenarkan dilalui oleh orang ramai.

“Jambatan itu menarik kerana pengunjung dapat berada sejauh kira-kira 1.5 km dari pantai untuk menyaksikan pemandangan matahari terbenam pada lewat petang,” katanya.

Sehubungan itu, dia berharap PBT dapat memulih dan membersihkan kawasan di Pantai Murni Waterfront yang menjadi tumpuan pengunjung. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya