Pahang tubuh unit ala komando jaga balak, perlombongan - Utusan Malaysia

Pahang tubuh unit ala komando jaga balak, perlombongan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri menubuhkan unit penguatkuasaan elit ala komando dalam usaha menambahkan lagi keberkesanan tugas-tugas penguatkuasaan di negeri ini termasuk membabitkan isu pembalakan dan perlombongan haram.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, menerusi penubuhan itu, penceroboh perlu berwaspada kerana setiap aktiviti mereka dipantau unit pasukan elit tersebut.

Menurut beliau, pasukan berkenaan lahir daripada cetusan ideanya yang memandang serius terhadap aktiviti pencerobohan haram negeri ini.

“Saya percaya dengan penubuhan skuad ini sedikit sebanyak dapat membantu kerajaan negeri membendung ketirisan dan kebocoran.

“Pengambilan 20 orang ini telah melepasi saringan kecergasan, ujian fizikal, tapisan keselamatan, tapisan insolvensi serta ujian personaliti sebelum menjalani latihan selama sebulan asas kepolisan merangkumi latihan fizikal, latihan senjata api.

“Kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM2 juta setahun bagi memastikan pasukan elit itu dapat menjalankan tugas dengan lebih berkesan, di samping memberikan latihan secara berterusan kepada mereka untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi berdepan cabaran ketika menjalankan tugas,” kata beliau  selepas merasmikan Majlis Penutupan Kursus Pasukan Elit Penguatkuasa Negeri Pahang di Kem Pasukan Gerakan Am, Bukit Galing di sini hari ini.

Pasukan itu memfokuskan kepada tugas-tugas perisikan, pengintipan dan pencegahan awal juga mengatasi sebarang kegiatan sabotaj, pemberi maklumat kepada sindiket terancang dalam cubaan menggagalkan serbuan Agensi Penguatkuasa Negeri.

Mereka menjalani latihan intensif dikendalikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kem Galing, dekat sini.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, pasukan elit itu ditempatkan di bawah selian pejabat Setiausaha Kerajaan negeri dalam unit penguatkuasaan negeri.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya