Najib ingatkan Rosmah jangan campur urusan kerajaan - Utusan Malaysia

Najib ingatkan Rosmah jangan campur urusan kerajaan

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkannya agar tidak mencampuri urusan beliau sewaktu berjawatan Perdana Menteri atau bertemu mana-mana kontraktor berkaitan projek kerajaan.

Ujar Rosmah, selaku isteri Perdana Menteri dan ketika itu berstatus wanita pertama, beliau tidak pernah mengamalkan polisi membantu kontraktor termasuk mendapatkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion di pedalaman Sarawak seperti yang dipertuduhkan terhadapnya.

Sewaktu membacakan pernyataan saksi, Rosmah mempertikai perlakuan dan peranan saksi pendakwaan ke-21, Datuk Rizal Mansor yang merupakan bekas pegawai di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang turut didakwa di mahkamah atas pertuduhan rasuah.

Menurut tertuduh, Rizal bukan pegawai khas beliau, sebaliknya berjawatan Penolong Pegawai dengan Tugas-Tugas Khas di JPM yang turut menjalankan tugas sebagai Pegawai Media di Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) JPM dan melapor tugas kepada Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod.

Ujar Rosmah, Rizal bukan pekerja yang cekap dan bertanggungjawab kerana gagal menulis teks ucapan dengan baik selain mempunyai masalah disiplin, culas, lalai dan sentiasa memerlukan pemantauan.

Rosmah menyatakan, Rizal mempunyai agenda jahat mencemarkan nama baiknya dengan memberikan konotasi negatif ketika memberi keterangan di mahkamah sebagai balasan kepada pihak pendakwaan yang menarik balik pertuduhan rasuah terhadapnya.

Menurut Rosmah, beliau tidak sepatutnya didakwa sebaliknya dipanggil sebagai saksi utama pendakwaan selepas Rizal dalam keterangannya mengaku meminta wang RM25 juta daripada Saidi Abang Samsudin iaitu sebanyak RM5 juta setahun selama lima tahun.

Tertuduh menyatakan, beliau tidak pernah sama sekali meminta atau menerima wang rasuah daripada Saidi mahupun Rayyan Radzwill Abdullah melalui Rizal seperti yang didakwa dalam pertuduhan.

Ujar Rosmah, Rizal merayunya beberapa kali agar bertemu Saidi dan Rayyan Radzwill untuk menzahirkan ucapan terima kasih kepada Najib kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek solar hibrid di Sarawak.

Rosmah menyatakan, beliau terkejut kerana Saidi dan Rayyan Radzwill kemudian hadir di kediamannya di Langgak Duta tanpa persetujuannya.

Mahkamah sedang mendengar keterangan bela diri Rosmah atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Saidi yang merupakan Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd. (Jepak) untuk dirinya sendiri yang dibuat melalui Rizal, melibatkan 15 peratus nilai kontrak.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit di sini antara bulan Januari dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak mendapatkan projek itu.

Kesalahan didakwa dilakukan di kediamannya di No. 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta pada 7 September 2017.

Rosmah turut didakwa menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak mendapatkan projek serupa.

Kesalahan didakwa dilakukan pada 20 Disember 2016 di kediaman rasmi di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya.

Tuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 24(1) akta sama iaitu hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN