KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) menandatangani memorandum perjanjian (MoA) yang bakal membuka peluang usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menghasilkan produk pertanian ke pasaran setempat melalui Program Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB).
Program berkenaan adalah gabungan antara Internet Kebendaan (IoT) dan fertigasi bagi memudahkan usahawan PKS terutama golongan B40 menceburinya.
Perjanjian itu ditandatangani Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi sebagai Naib Canselor UMP dan Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Md. Silmi Abd. Rahman.
Hadir menyaksikan majlis itu, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman.
DPUB adalah program peningkatan pendapatan golongan B40 berasaskan Model Quadruple Helix bagi memupuk inovasi sosial ke arah komuniti mapan.
Objektif untuk menaikkan taraf hidup bumiputera terutama golongan B40 dalam masyarakat luar bandar bersama dengan agenda nasional Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).
Abdul Aziz berkata, program tersebut membolehkan usahawan tani tempatan meningkatkan produktiviti pertanian mereka dengan bantuan teknologi yang memudahkan dan berkesan.
“Projek IOT Based Smart Farming System yang dicadangkan UMP kepada pihak Teraju ini akan dilaksanakan bagi Program DPUB 2020 di Pahang. Ia melibatkan 45 orang B40 di sekitar Daerah Kuantan, Pekan, Maran dan Temerloh. Hasil projek inovasi gabungan antara sistem IoT dan juga fertigasi (cili dan terung) ini akan memudahkan peserta menjalankan aktiviti pertanian,” katanya.
Dalam pada itu, para peserta bagi projek ini akan diberikan kelengkapan pertanian berupa sistem fertigasi pintar yang lebih cekap dan mesra pengguna berbanding sistem penanaman tradisional dan sistem fertigasi konvensional.
Malah sistem fertigasi yang akan diutarakan dalam projek itu dilengkapi dengan mekanisme automatik berpacukan IoT di mana pengawalan dan pengawasan sistem dijalankan sepenuhnya oleh sistem penggera dan dihantar terus ke aplikasi telefon bimbit pengguna.
Abdul Aziz berkata, ia membolehkan maklumat dibaca terus dan jelas melalui telefon di mana sahaja pengguna berada dan boleh mengambil tindakan mengikut kesesuaian melalui aplikasi secara dalam talian yang dibangunkan oleh penyelidik UMP.
“UMP sentiasa berinovasi dan mempelbagaikan kajian demi menyediakan suasana yang dapat membantu usahawan tani menguruskan pertanian mereka dengan lebih baik,” katanya dalam majlis yang berlangsung di Hotel Zenith Kuantan di sini semalam.
Sementara itu, menurut Md. Silmi, projek fertigasi itu juga dikhaskan kepada golongan B40 yang memenuhi kriteria bagi membantu mengurangkan kadar kemiskinan dalam kalangan rakyat melalui gabungan pertanian dan juga aplikasi teknologi.
“Projek ini juga dijangka membawa transformasi golongan B40 kepada golongan M40 dalam tempoh pelaksanaan dan pemantauan selama lima tahun.
“Program ini mensasarkan untuk memberi pendapatan tambahan kepada golongan B40 yang terlibat sekurang-kurangnya RM2,500 sebulan dalam masa lima tahun projek ini dilaksanakan,” ujarnya.- UTUSAN