LUMUT: Bekas pelajar cemerlang Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Kuantan lemas selepas menyelamatkan adiknya daripada mengalami nasib sama dalam kejadian di pantai Teluk Senangin, dekat sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, Asna Hazim Ahmad Kamal, 24, dapat menyelamatkan adiknya, Aqil Haziq, 12, daripada ditarik ombak ke tengah laut sebelum dia pula dibawa arus dan terkapai-kapai dan cuba diselamatkan orang ramai yang berada di situ.
Orang ramai kemudian memberi rawatan kecemasan terhadap dua beradik itu sebaik sahaja dibawa ke pantai, sebelum kedua-duanya dibawa ke Hospital Seri Manjung (HSM) untuk menerima rawatan lanjut.
Asna Hazim bagaimanapun menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke HSM manakala Aqil Haziq dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan masih dirawat di hospital tersebut.
Bapa mangsa, Ahmad Kamal Mohd Isa, 58, berkata, terdahulu dia bersama isteri, tiga anak termasuk mangsa dan seorang cucu, menghantar seorang lagi anaknya ke Institut Kemahiran Mara (IKM) Lumut di Seri Manjung, sebelum mendaftar menginap di sebuah chalet di Teluk Senangin kira-kira pukul 12 tengah hari.
Selepas itu, dia dan isteri yang menetap di Seri Iskandar, berehat di dalam chalet manakala Asna Hazim dan Aqil Haziq bersama seorang anak perempuannya pergi ke pantai.
“Tidak lama kemudian, anak perempuan meluru masuk ke dalam chalet bagi tahu yang dua anak lelaki saya itu lemas.
“Sebaik sahaja tiba di pantai saya melihat orang ramai sedang memberi bantuan pernafasan kepada mereka.
“Tidak lama selepas itu, Aqil Haziq mulai sedar tapi dalam keadaan lemah tetapi Asna Hazim masih tidak sedar. Ketika itu dia masih bernyawa sehingga ambulan sampai membawa mereka ke HSM,” katanya yang reda dengan pemergian anak ketiga daripada lima beradik itu.
Menurut Ahmad Kamal, Asna Hazim anak yang pintar sentiasa mencatat keputusan cemerlang sejak bersekolah di sekolah berasrama penuh (SBP) di Pulau Pinang dan mencatatkan keputusan 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mendapat tawaran melanjutkan pengajian di universiti tetapi memilih bidang kemahiran industri robotik di KKTM Kuantan di Pahang.
Katanya, arwah yang lebih rapat dengannya berbanding empat anaknya yang lain, sentiasa mendapat anugerah dekan di setiap semester ketika menuntut di KKTM dan dua bulan lalu mendapat tajaan MARA mengikuti pengajian jangka pendek sijil kejuruteraan kecerdasan buatan (AI) di Bangsar, Kuala Lumpur.
“Arwah baru balik ke rumah pada malam Jumaat lalu selepas dua bulan di ibu negara dan sepatutnya kembali ke sana esok sebelum menghabiskan pengajiannya bulan depan,” kata Ahmad Kamal ketika ditemui pemberita di Unit Forensik HSM di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Belanja, Khairudin Abu Hanipah, yang juga jiran Ahmad Kamal di Seri Iskandar.
Ahmad Kamal yang bekerja sebagai Penolong Pegawai Pertanian Daerah Perak Tengah memberitahu, Aqil Haziq sudah mengetahui pemergian abangnya itu yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seri Iskandar selepas solat Isyak malam ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata bedah siasat dijalankan mendapati sebab kematian adalah akibat lemas.
“Setakat ini siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” jelasnya. – UTUSAN ONLINE