Keladi bunting jadi tarikan di Tumpat - Utusan Malaysia

Keladi bunting jadi tarikan di Tumpat

HANIS Solihin Azhan (kiri sekali) dan adiknya, Hanis Solihan (tengah) bersama sepupu mereka, Azhan Khairi menunjukkan bunga keladi bunting yang terdapat di tali air Kampung Kok Bedullah, Tumpat hari ini. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Hamparan ungu seakan lavender hasil pokok keladi bunting berbunga lebat dalam tali air di Kampung Kok Bedullah di sini mencuri tumpuan orang ramai sejak beberapa hari lalu.

Sebelum ini, gambar-gambar tersebut tular di media sosial selepas seorang penduduk, Sidek Ali Hassin dari Kampung Tujoh, memuat naik koleksi gambar yang dirakam di akaun Facebook miliknya.

Tinjauan di lokasi tersebut semalam melihat ramai pengunjung berada di kawasan itu untuk menyaksikan kecantikan bunga keladi bunting dengan semua mengambil gambar dari pelbagai sudut.

Penternaik kambing, Khairi Razali, 46, berkata, keladi bunting atau dipanggil keladi boceh oleh penduduk tempatan sentiasa berbunga sekitar September hingga November.

Katanya, tanaman tumbuh meliar tersebut biasanya dipetik penduduk untuk dijadikan makanan kepada itik penelur.

“Setiap tahun, keladi bunting ini tumbuh subur memenuhi permukaan tali air. Apabila terlalu banyak, kewujudannya boleh menyebabkan aliran air tersekat dan menyusahkan penduduk terutama pada musim tengkujuh.

“Jadi pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) terpaksa membersihkannya setiap kali musim bah bagi memastikan aliran air tidak tersumbat,” katanya.

Sementara itu, dua beradik, Hanis Solihin Azhan, 8, dan Hanis Solihan, 7, dari Kedah yang pulang bercuti di kampung teruja bermain dengan bunga keladi bunting tersebut bersama sepupu mereka, Azhan Khairi, 6.

Ketika ditegur, Hanis Solihin berkata, mereka tidak pernah melihat fenomena alam seumpama itu dan berharap dapat melihatnya lebih kerap selepas ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN