Kampung ‘jutawan’ makin dilupai - Utusan Malaysia

Kampung ‘jutawan’ makin dilupai

ABDUL Jalal Ismail bersama Sahara Sisar (kanan) dan Zainun Hassan (tengah) bercerita mengenai Kampung LBJ, Labu, Seremban yang dahulunya menjadi perhatian ramai pihak kerana ‘kekayaan luar biasa’ yang diperoleh mereka pada 1996. – Mingguan/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebut sahaja Kampung Lyndon B Johnson (LBJ), pasti ramai masih ingat mengenai kisah 504 orang bekas peneroka Felda yang bergelar ‘jutawan segera’ pada 1996.

Rata-rata peneroka memperoleh antara RM1.2 juta hingga RM2 juta setiap seorang sehingga LBJ terus menerima jolokan ‘kampung jutawan’.

Kini selepas 25 tahun, Mingguan Malaysia melakukan tinjauan di kampung tersebut semalam dan didapati kira-kira 600 kediaman di situ bukan sahaja semakin sepi malah dihimpit pembangunan di kawasan sekitar.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung LBJ, Abdul Jalal Ismail, 69, berkata, lokasi kampung tersebut strategik kerana terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Putrajaya.

Bagaimanapun menurut beliau, pembangunan kawasan sekitar tidak melimpah kepada kawasan Kampung LBJ sehinggakan kini ia kelihatan sepi dan suram.

“Jika kita dapat lihat, tiada sebarang bangunan kedai yang baik dan lebih tersusun terdapat di sini. Arus permodenan yang berlaku kini seperti pembangunan kilang yang pesat juga ‘menutupi’ kampung ini yang dahulunya gah di mata orang luar,” katanya.

Menurut Abdul Jalal, dianggarkan selepas 50 tahun, kampung ini kini hanya tinggal 40 peratus generasi awal masih hidup manakala lain-lain adalah anak-anak kepada generasi awal tersebut.

Jelasnya, sebahagian rumah mewah kelihatan ditinggalkan begitu sahaja kerana warisnya berhijrah ke kawasan lebih maju.

Sementara itu seorang penduduk, Sahara Sisar, 80, berkata, dia yang menerima wang pampasan bersama arwah suaminya, Hashim Ahmad menggunakan duit tersebut dengan membina dua buah rumah dan menunaikan haji.

“Kami memang tidak percaya kerana tidak sangka mendapat wang sebanyak itu. Selepas menerima wang tersebut, memang kampung ini dipenuhi dengan rumah-rumah batu yang lebih baik,” katanya yang sudah 50 tahun menetap di situ.

Katanya, walaupun sudah ramai anak-anak generasi pertama kampung tersebut berpindah keluar dari LBJ namun dia tidak bercadang untuk mengikut jejak tersebut.

Zainun Hassan, 73, pula berkata, ketika mendapat wang tersebut, dia dan arwah suaminya, tidak gelap mata jika dibandingkan dengan segelintir penerima lain.

“Saya sebahagian daripada orang lama yang masih menetap di sini sejak 1968. Pada waktu menjadi jutawan segera saya tidak rabun mata.

“Apabila mendapat wang pampasan RM1.5 juta, saya dan arwah suami menunaikan haji dan umrah serta membina sebuah rumah di sini. Pada waktu itu, memang seronok, penduduk pun gembira,” ceritanya.

Bagaimanapun katanya, ada jiran sekampung yang berjoli sakan sehingga terjebak dengan skim cepat kaya dan tertipu dengan pembelian rumah secara tunai dengan ejen-ejen.

Menurut Zainun, berbanding dahulu, keadaan di Kampung LBJ sudah berubah, dan kini terhimpit dengan pembangunan pesat kawasan sekitar.

“Jika dahulu aktiviti penduduk di kampung ini adalah menoreh getah dan mengusahakan sawit namun kini kebanyakan penduduk bekerja di sekitar kawasan ini dan bagi yang sudah berusia hanya berehat di rumah,” katanya.

Bandar Enstek adalah salah satu kawasan pembangunan yang terletak hampir dengan Kampung LBJ.

Pembangunan Bandar Enstek meliputi empat komponen iaitu kawasan perumahan, institusi pendidikan, kawasan komersial dan kawasan perindustrian.

Antaranya Politeknik Nilai, Institut Aminuddin Baki, Kolej Tunku Kurshiah, Akademi Audit Negara, Pusat Bioteknologi Felda dan kilang Coca-Cola.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya