PUTRAJAYA: Komuniti merekodkan pertambahan lima daripada lapan kluster Covid-19 hari ini, manakala tempat kerja, kumpulan berisiko tinggi dan keagamaan, masing-masing satu kluster.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, komuniti melibatkan empat di Kelantan dan satu Pahang manakala satu kluster tempat kerja di Kedah.
“Satu kluster kumpulan berisiko tinggi pula di Johor manakala satu kluster keagamaan juga di Johor.
“Jumlah terbabit menjadikan keseluruhan kluster aktif sebanyak 810 kluster manakala 4,778 kluster yang tamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, Malaysia mencatatkan penurunan kes positif Covid-19 iaitu 7,373 kes berbanding semalam, 8,743 kes sekali gus terus diatasi 10,959 kes sembuh, manakala 762 kes Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 410 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.
“Daripada 7,373 kes harian yang direkodkan, hanya 133 kes (1.8 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima. Bagi kategori satu dan dua, sebanyak 7,240 kes bersamaan 98.2 peratus,” katanya.
Kata beliau, kes kematian mencatatkan penurunan iaitu 74 kes berbanding kelmarin, 78 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 7 petang, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 27,265 kes.
Sebanyak 27 daripada 74 kematian melibatkan kes yang dibawa ke hospital (BID) dengan jumlah keseluruhan kes sebanyak 5,500 kes.
Sebanyak 768 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 418 pesakit memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP) manakala pesakit yang perlu ditempatkan di wad adalah seramai 1,562 orang. – UTUSAN