PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan pihaknya tidak pernah menawarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bagi mana-mana produk kewangan berasaskan wang Kripto, Bitcoin dan Forex.
Jakim menerusi Bahagian Hab Halal berkata, sijil halal yang dikeluarkan kepada syarikat berkenaan juga adalah palsu.
Menurutnya, pengguna dinasihatkan agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan pelbagai tipu helah daripada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Kami menerima banyak pertanyaan di media sosial mengenai status SPHM terhadap produk kewangan iaitu wang Kripto, Bitcoin dan Forex.
“Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan berkaitan penyalahgunaan SPHM, pengguna bolehlah mengemukakan aduan yang lengkap kepada JAKIM.
“Untuk mengetahui produk dan premis makanan yang memiliki SPHM, sila layari Portal Rasmi Halal Malaysia di www.halal.gov.my. Semakan juga boleh dilakukan melalui aplikasi telefon pintar SmartHalal (http://www.smarthalal.com.my/faq.html),” katanya menerusi Facebook hari ini.
Sebelum ini, beberapa pihak tidak bertanggungjawab mengeluarkan SPHM palsu dengan memalsukan kelulusan daripada Jakim dan Jabatan Agama Islam Perlis bagi mempromosikan produk kewangan mereka berasaskan wang Kripto, Bitcoin dan Forex.
Tindakan itu dilakukan bagi mempengaruhi orang ramai supaya mendapatkan perkhidmatan dan melanggan produk mereka selain mendakwa ia patuh syariah.