Industri vape berpotensi besar - Utusan Malaysia

Industri vape berpotensi besar

KAWAL selia ke atas industri vape di UK membolehkan industri itu berkembang, seterusnya menyumbang kepada ekonomi negara berkenaan melalui kutipan cukai dan peluang pekerjaan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menyokong usaha untuk mewujudkan kawal selia yang proaktif bagi industri termasuk cadangan pelaksanaan cukai terhadap produk cecair vape bernikotin.

Menurut Presiden DPMM, Abdul Halim Husin, industri vape adalah satu industri yang sangat besar dan berpotensi tinggi.
Justeru, kerajaan harus memberi tumpuan yang khusus untuk memperkembangkan industri itu sebagai salah satu industri yang utama dalam ekonomi negara.

Mengikut kajian, industri vape dilaporkan bernilai RM2.27 billion dengan penglibatan 3,300 perniagaan.

Industri itu juga majoritinya diusahakan oleh golongan bumiputera dan telah berjaya mewujudkan lebih daripada 15,000 pekerja dalam industri vape. Pada masa yang sama, kebanyakan pekerja dalam industri itu adalah pekerja bumiputera.

“DPMM pernah mengadakan perjumpaan dengan pengusaha-pengusaha industri vape. Rata-rata mereka adalah Melayu dan pengusaha boleh menjana pendapatan RM80 juta hingga RM150 juta setahun dan banyak yang boleh kerajaan dapatkan dari segi pendapatan cukai. Oleh itu, saya menyokong agar vape dikenakan cukai kerana ia adalah pengganti rokok,” katanya.

Menurut Abdul Halim, vape sebenarnya kurang mudarat daripada rokok.

“Apa yang digusarkan adalah jika ia digunakan dengan cara yang salah. Vape memang kurang mudarat, cuma yang dirisaukan ialah penyalahgunaan vape dalam kalangan belia. Oleh itu, penguatkuasaan dan pemantauan di Malaysia harus diperkemas dan diperketatkan. Kajian-kajian berkaitan kesihatan juga harus dijalankan untuk produk vape,” katanya.

Perdebatan mengenai penggunaan vape hangat di peringkat global. Kajian yang diterbitkan oleh Public Health England (PHE) mendapati bahawa kesan vape ke atas kesihatan ialah 95 peratus kurang mudarat berbanding rokok tradisional.

Malah, vape telah membantu lebih daripada 50,000 perokok di England untuk berhenti merokok dalam setahun.

United Kingdom (UK) merupakan antara negara dunia yang membenarkan vape di dalam pasaran dan mempromosikannya sebagai salah satu kaedah untuk berhenti merokok. Negara tersebut telah berjaya menurunkan statistik merokok dan pada masa yang sama membendung penggunaan dalam kalangan remaja melalui peraturan.

Menurut data terbaru PHE yang telah dikemaskini, jumlah remaja bawah umur yang menggunakan vape adalah sangat rendah.
Ia membuktikan dengan kawal selia dan peraturan yang betul, vape tidak membawa kemudaratan kepada institusi negara.

Dalam pada itu, Abdul Halim juga mencadangkan kerajaan meneruskan usaha-usaha bantuan kewangan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memerlukan dana bagi memulakan semula kehidupan dan perniagaan mereka.

“Kita dah alami pandemik hampir dua tahun, banyak dana yang hilang sebab nak meneruskan perniagaan, sewaan premis, gaji perkerja dan sebagainya. Bukan sahaja itu, peniagaan golongan T20 juga harus diambil kira dalam pemberian bantuan dan insentif kerana mereka juga terjejas dalam situasi ekonomi yang mencabar ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya