Identiti tiga mangsa maut dikenal pasti - Utusan Malaysia

Identiti tiga mangsa maut dikenal pasti

maut
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Identiti ketiga-tiga mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di daerah ini malam tadi  dikenal pasti. 

Dua daripada mereka menaiki kereta Ford Fiesta iaitu Thomas Tio Jia Wang, 19, dan Tio Kah Yong, 20, yang  mati di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa yang meninggal dunia di hospital ialah Ab. Razak A. Ghani, 64.

Sementara itu, seorang lagi mangsa yang cedera adalah penunggang motosikal jenis Honda, V. M. Mahendran, 22

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Bahrin Mohd. Noh berkata, siasatan awal mendapati kenderaan dinaiki dua pemuda itu dipercayai berlanggar dengan motosikal ditunggang Mahendran yang bergerak dari arah sama iaitu dari Labis ke pekan Segamat.

“Akibat pelanggaran itu, kereta tersebut  hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan melanggar Mitsubishi Storm dinaiki warga emas yang bergerak dari arah bertentangan menghala ke Tenang.

“Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian manakala Ab. Razak meninggal dunia di Hospital Segamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan tiga maut manakala seorang penunggang motosikal cedera dalam kemalangan berhampiran Jalan Kampung Melayu Raya, kira-kira pukul 8.30 malam tadi. 

Sementara itu, Jia Wang dan Kah Yong mengalami kecederaan di kepala dan badan, manakala Ab. Razak cedera di bahagian dalaman perut.

Mahendran seorang  operator kilang cedera ringan di pinggang dan motosikalnya rosak manakala kedua-dua kenderaan terbabit remuk.

Dalam pada itu, Bahrin berkata, lokasi kemalangan di jalan  lurus dan di garisan putih berkembar tetapi jalan licin kerana  baru lepas hujan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya