PASIR MAS: Bangsal dibina menggunakan ranting dan dahan pokok gelam di sebuah kebun getah di Kampung Bukit Pak Junuh, di sini menjadi tempat berteduh Abdullah Busu, 59, seorang diri tanpa ditemani sesiapa sejak tujuh tahun lalu.
Bangsal tersebut bukan sahaja daif, malah sempit iaitu hanya kira-kira sembilan meter persegi tanpa sebarang bilik selain tidak dilengkapi kemudahan asas lain seperti bekalan elektrik, air bersih dan tandas.
Abdullah yang mesra dipanggil Pok Loh memberitahu Utusan Malaysia, dia kini sebatang kara selepas berpisah dengan isteri, tujuh tahun lalu dan sudah lali menjalani kehidupan ringkas sebegitu.
“Untuk belanja makan dan minum, saya ambil upah menebas dan potong rumput, menoreh getah serta membaiki rumah penduduk namun punca rezeki saya terputus berbulan-bulan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Bangsal yang selama ini sunyi sepi, bertukar meriah dengan kehadiran Media Mulia Sdn. Bhd. (MMSB) yang menyantuni Abdullah sambil menyerahkan sumbangan RM1,000 dan barang keperluan asas menerusi Program Jelajah Ikhlas Bersama CSR anjuran bersama MMSB, Central Sugars Refinery Sdn. Bhd. (CSR) dan Era Foods MY.
Kata Abdullah, sumbangan tersebut amat besar maknanya dan dia mahu memanfaatkan wang diterima itu sebagai modal bagi mengusahakan tanaman tebu di belakang bangsalnya.
“Beberapa tahun lalu, saya pernah jual air tebu untuk menyara diri. Saya sudah lama teringin menanam tebu sendiri. Jadi wang saya terima ini akan dijadikan modal untuk tanam 1,000 batang pokok tebu,” katanya.
Turut menerima sumbangan Program Jelajah Ikhlas Bersama CSR Zon Timur ialah Mohd. Norhisam Jali, 39, yang hilang kudrat dan tidak mampu bekerja selepas kaki kanan hingga paras lutut membengkak akibat jangkitan kuman sejak lima tahun lalu.
Keadaan bekas buruh di Pelabuhan Tok Bali, Pasir Puteh itu memaksa isteri, Maznah Othman mengambil alih tugas menyara lima anak dengan cara membuat kuih untuk diletakkan di warung berdekatan rumah mereka di Kampung Dalam Rhu.
Akibat pandemik Covid-19, pendapatan Maznah terjejas teruk apabila kuihnya tidak laku menyebabkan tujuh sekeluarga itu kian terhimpit ketika dalam tempoh PKP yang berlarutan panjang, baru-baru ini.
Kisah Mohd. Norhisam pernah disiarkan Utusan Malaysia dan Kosmo! bulan lalu dan telah menarik perhatian pelbagai pihak prihatin untuk tampil membantu meringankan beban mereka sekeluarga.
“Terima kasih kepada pembaca Utusan Malaysia dan Kosmo! yang cakna dan membantu kami menyelesaikan sewa rumah yang tertunggak berbulan-bulan. Sejujurnya, saya memasang impian untuk memiliki rumah sendiri supaya kami tidak perlu lagi menyewa,” katanya. – UTUSAN