Gembira dapat belajar di sekolah - Utusan Malaysia

Gembira dapat belajar di sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Suasana Sekolah Kebangsaan (SK) Penghulu Ahmad, Jalan Ayer Hangat di sini yang sunyi sejak Jun lalu kembali ceria dan riuh dengan kehadiran murid serta suara guru-guru mengajar pada hari pertama persekolahan secara bersemuka di pulau ini, semalam.

Murid-murid tersebut gembira ke sekolah walaupun perlu mengikut norma baharu dengan memakai pelitup muka, pemeriksaan suhu badan dan mencuci tangan menggunakan pembasmi kuman.

MURID mencuci tangan menggunakan pembasmi kuman sebelum memasuki kelas di SK Penghulu Ahmad, Ayer Hangat, Langkawi, Kedah.

Lebih meriah, kehadiran murid di sekolah itu disambut individu menyarung kostum menyerupai karakter adiwira Spiderman seawal pukul 6.30 pagi.

Murid yang hadir semalam berkapasiti 50 peratus bagi Tahun Satu hingga Tahun Tiga secara penggiliran mingguan bagi pembelajaran bersemuka.

Sekolah itu juga menempatkan kelas untuk kanak-kanak keperluan khas di kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

BEBERAPA murid Tahun Satu hingga Tahun Tiga tiba untuk mengikuti sesi persekolahan secara bersemuka di SK Penghulu Ahmad, Ayer Hangat, Langkawi, Kedah, semalam.

SK Penghulu Ahmad itu adalah antara 29 buah sekolah di Langkawi yang dibuka secara berperingkat mengikut ketetapan negeri dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 3 Oktober lalu.

Pada masa sama, jumlah kehadiran murid di sekolah tersebut pada hari pertama adalah membanggakan.

MUAZ MARZUKI

Seorang murid SK Penghulu Ahmad, Muaz Marzuki, 7, berkata, dia teruja hadir memulakan sesi persekolahan selepas tidak dapat hadir ke kelas secara bersemuka sejak Jun lalu.

Dia mengakui banyak ketinggalan dalam pelajaran apabila hanya sempat belajar secara bersemuka dalam tempoh masa yang singkat sebelum ini.

“Saya gembira apabila dapat bersekolah semula selepas lama tidak memasuki kelas seperti biasa.

“Malah, ayah saya juga membeli baju sekolah baharu untuk dipakai pada hari ini (semalam),” katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan.

BADRINA NUR SAFIYYAH BAHARON

Badrina Nur Safiyyah Baharon, 8, pula berkata, dia tidak sabar hadir ke sekolah selepas mendapat tahu ia mula dibuka pada 17 Oktober.

Ini kerana, katanya, sepanjang tempoh dari Jun lalu, dia hanya mengikuti
sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), namun lebih seronok belajar secara bersemuka.

“Saya agak ketinggalan belajar secara PdPR yang secara bersemuka lebih mudah faham,” ujarnya.

Selain itu, dia juga rindu untuk bertemu dengan rakan dan guru-guru selepas lama tidak ke sekolah.

NURIN IRLISHA MOHD. SHUKOR

Seorang lagi murid, Nurin Irlisha Mohd. Shukor, 9, pula berkata, dia sedia mematuhi setiap SOP ditetapkan sekolah untuk mengekang penularan Covid-19.

Menurutnya, ibu dan bapanya berpesan supaya sentiasa memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan ketika berada dalam kelas serta kantin sekolah.

“Saya diarahkan guru untuk mencuci tangan menggunakan cecair pembasmi kuman dan memeriksa suhu badan sejurus selepas memasuki kawasan sekolah,” katanya.

NUR Fatin Soffea Sofi menjalani sesi pembelajaran melalui kaedah kombinasi titik Braille di SK Penghulu Ahmad, Ayer Hangat, Langkawi, Kedah, semalam. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN

Sementara itu, murid orang kurang upaya (OKU) kategori masalah penglihatan yang belajar di kelas PPKI di SK Penghulu Ahmad, Nur Fatin Soffea Sofi, 7, memberitahu, dia bangun awal untuk bersiap ke sekolah yang dibuka bermula semalam.

Katanya, dia tidak mahu ketinggalan hadir ke sekolah selepas begitu lama berada di rumah sahaja.

“Saya seronok ke sekolah kerana dapat belajar mengenali kombinasi titik Braille untuk membaca. Saya juga diajar guru berjalan menggunakan tongkat dan sebagainya,” katanya yang bercita-cita menjadi guru. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya