PUTRAJAYA: Tarikan luar biasa orang ramai terhadap pokok-pokok landskap mendorong Perbadanan Putrajaya (PPj) membuka sebuah pusat jualan dikenali Garden Shop di Taman Wetland, di sini.
Pusat jualan yang bertempat di Kompleks Nurseri Taman Wetland itu dibuka kepada orang awam bermula hari ini.
Naib Presiden Jabatan Landskap dan Taman PPj, Abd. Aziz Buang berkata, lebih 150 spesies dan jenis pokok ditawarkan termasuk pokok hiasan, landskap, bunga, buah-buahan dan herba selain pokok-pokok viral yang menjadi buruan ramai.
Beliau berkata, hampir kesemua tanaman-tanaman dan pokok-pokok viral boleh diperoleh di Garden Shop ini termasuk keladi, Alocasia, bunga hiasan gantung dan lidah buaya.
“Apa yang penting, harga yang kami tawarkan lebih berpatutan dan murah berbanding harga di tempat lain iaitu antara RM3 hingga RM50 bagi setiap pokok.
“Selain jualan, kami menawarkan khidmat nasihat percuma kepada pengunjung mengenai cara-cara menjaga pokok dari aspek penjagaan serta baja yang sesuai,” katanya ketika ditemui, semalam.
Abd. Aziz berkata, objektif penubuhan nurseri itu adalah bagi memberi peluang pemasaran kepada produk landskap dalam kalangan penduduk Putrajaya dan sekitarnya.
Katanya, pusat jualan itu pernah dibuka kepada orang awam pada 10 Oktober tahun lalu namun terpaksa ditutup bagi tempoh agak lama disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kali ini kami lebih bersedia untuk membuka kepada orang awam, malah lebih banyak tanaman ditawarkan berbanding sebelum ini,” katanya.
Menurutnya, PPj dalam perancangan menubuhkan pusat kecemerlangan tanaman dan landskap sesuai dengan konsep Putrajaya sebagai Bandar Hijau. – UTUSAN ONLINE