Eksport coklat Malaysia meningkat kepada RM650 juta - Utusan Malaysia

Eksport coklat Malaysia meningkat kepada RM650 juta

ZURAIDA Kamaruddin melihat proses pembuatan coklat di Pusat Inovasi dan Teknologi Koko, LKM di Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Produk coklat buatan Malaysia diterima baik di luar negara dan menyumbang kepada sektor hiliran industri koko apabila nilai eksport produk itu menunjukkan peningkatan kepada RM650 juta setakat Ogos lalu. 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, perolehan nilai eksport coklat itu  meningkat 11 peratus berbanding RM585.6 juta pada tempoh sama tahun lalu. 

“Ketika ini, pasaran global coklat bernilai RM120 bilion dan Malaysia hanya mengeluarkan RM7 bilion produk semi koko manakala bagi produk coklat siap diproses adalah RM650 juta.

“Maknanya potensi pasaran koko ada banyak lagi yang boleh dimanfaatkan dan saya menyeru Lembaga Koko Malaysia (LKM) untuk memfokuskan kepada produk yang boleh dikomersialkan dan dijual di luar negara sekali gus memberikan hasil,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Zuraida mengadakan lawatan bagi melihat proses pembuatan coklat di Pusat Inovasi dan Teknologi Koko, LKM di Nilai di sini.

Menurut Zuraida, jenama Beryl’s adalah produk coklat buatan Malaysia paling terkenal dan berada pada kedudukan pertama dengan pasaran sebanyak RM720 juta setahun.

“Dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, negara telah mengeksport coklat ke negara seperti China, India, Korea, dan Indonesia.

“Kita juga ada produk baharu dikenali sebagai Royale yang masih dalam peringkat ujian namun setanding dengan coklat keluaran antarabangsa,” katanya lagi.

Jelas beliau, selain itu produk kosmetik dan vitamin berasaskan koko yang mempunyai kandungan antioksidan yang mampu mengekalkan awet muda turut difokuskan pada tahun ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perkembangan kemasukan pekerja asing dalam sektor perladangan kelapa sawit, Zuraida memberitahu, sebanyak 5,000 pekerja asing akan masuk secara berfasa bermula 15 November depan.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan bertemu dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo dalam masa terdekat dan satu memorandum perjanjian persefahaman (MoU) berkaitan pekerja asing bagi sektor perladangan ke Malaysia akan dimeterai.

“Sebanyak 5,000 pekerja asing dari Indonesia sudah bersedia untuk masuk ke negara ini (bekerja) bermula 15 November ini dan mereka akan masuk secara berfasa,” katanya lagi.

Sebelum ini, akhbar melaporkan kerajaan terpaksa membawa masuk seramai 32,000 pekerja asing ke sektor perladangan selepas rakyat tempatan tidak berminat untuk mengisi kekosongan kerja dalam sektor tersebut.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya