JASIN: “Sepanjang hidup, saya tidak akan lupa pengalaman ‘ngeri’ apabila dua kali disahkan positif Covid-19. Saya sudah serik dengan apa yang terjadi.”
Demikian luah bekas pekerja bank, Muhammad Shamel Abu Hashim, 57, dari Kampung Batu Gajah Pasir, Sungai Rambai dekat sini yang sudah dua kali dijangkiti virus maut itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, dia berkata, keadaan kesihatan paling teruk dihadapinya adalah dimasukkan dan menjalani rawatan 28 hari di Hospital Melaka setelah disahkan positif pada 24 Mac tahun lalu sejurus selepas pulang dari Lombok, Indonesia.
“Sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020, saya bercuti ke Lombok bersama 12 rakan. Apabila balik, lapan daripada kami disahkan positif Covid-19.
“Sepanjang 28 hari itu, sakit tekak saya tidak hilang-hilang. Masa itu memang susah nak makan dan cukup memeritkan. Bayangkan, tiga kali ujian saringan dibuat setiap 10 hari, saya masih lagi positif,” katanya ketika ditemui.
Ketika jangkitan kali pertama Sheml belum divaksin.
Mengulas lanjut, Muhammad Shamel berkata, dia sudah terbayang panggilan maut bakal ditempuhnya memandangkan sakitnya masih tidak reda.
Jelasnya, kali kedua disahkan positif dan mendapat rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh adalah dari 7 hingga 17 September lalu.
“Saya mula rasa demam dan jalani kuarantin kendiri. Saya berkurung dalam bilik dan minta anak jangan berjumpa. Bila demam saya tidak sembuh, saya pergi buat ujian saringan di Klinik Kesihatan Jasin dan disahkan positif Covid- 19.
“Mujurlah kali ini tidak mengalami keadaan yang teruk berbanding sewaktu kali pertama. Saya telah lengkap dua dos vaksin Sinovac pada 3 dan 24 Julai,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE