MELAKA: Seramai 1,000 pengunjung terawal yang tiba di pintu masuk Melaka di Plaza Tol Ayer Keroh, Plaza Tol Simpang Ampat dan Melaka Sentral akan menerima cenderahati istimewa daripada kerajaan negeri, Jumaat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, pemberian berbentuk kit penjagaan kesihatan itu diserahkan sendiri oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.
Ujarnya, pemberian kit akan bermula pukul 3 petang sempena majlis sambutan ketibaan pelancong ke Melaka.
“Majlis sambutan itu akan dilaksanakan di pintu masuk negeri pada 15 Oktober bermula pukul 3 petang di Plaza Tol Ayer Keroh, Tol Simpang Ampat dan Melaka Sentral.
“Seramai 1,000 pelancong terawal diberikan cenderahati yang disampaikan Ketua Menteri dan saya sendiri,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Bahagian Promosi dan Pelancongan (BPP), Kota Cemerlang, Ayer Keroh di sini hari ini.
Tambahnya, bagi memeriahkan majlis itu, kerajaan negeri dengan kerjasama Institut Seni Warisan Melaka (INSWA) dan Persatuan Pengkarya Seni Jalanan Malaysia akan mengadakan pertunjukan pada hari sama.
Katanya, ia berlangsung bermula pukul 9 malam sehingga 11 malam, diikuti dengan persembahan pada keesokan harinya, bermula pukul 5 petang hingga 6 petang dan 9 malam hingga 11 malam.
Jelasnya, persembahan itu diadakan di tiga buah lokasi iaitu di Taman Rempah, Kampung Morten dan Muara Sungai Melaka.
“Selain itu, kerajaan negeri juga berhasrat untuk mengaktifkan semula Kempen Promosi Melakan Visit Melaka 3.0 yang akan memberikan tawaran diskaun sehingga 60 peratus di 24 buah lokasi pelancongan pada tahun ini.
“Dalam perkembangan lain, pihak pengurusan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) telah mengambil inisiatif untuk mewujudkan pakej perhentian melibatkan 28 buah jeti bagi memudahkan pengunjung bergerak ke destinasi masing-masing,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE