Bayar sekali, dapat naik sepanjang hari Melaka River Cruise - Utusan Malaysia

Bayar sekali, dapat naik sepanjang hari Melaka River Cruise

JETI Kampung Morten, Banda Hilir, Melaka merupakan salah satu daripada 14 lokasi Pit Stop MRC. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Melaka River Cruise (MRC) hari ini melancarkan pakej pelancongan, Pit Stop MRC yang melakukan hentian di 14 jeti di lokasi menarik sepanjang Sungai Melaka. 

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Datuk Murad Husin berkata, sebanyak tiga bot disediakan bagi pakej tersebut yang boleh dinaiki tanpa had sepanjang hari sehingga 12 tengah malam. 

Ujarnya, pakej tersebut disediakan bagi memberikan kemudahan kepada pengunjung khususnya mereka yang ingin melawati kawasan tumpuan pelancong di sepanjang sungai berkenaan. 

“Kini pengunjung tidak perlu bimbang dengan pengangkutan atau kesesakan lalu lintas sekiranya ingin melawati kawasan di sepanjang Sungai Melaka kerana kita menyediakan hentian di 14 buah jeti di lokasi-lokasi menarik. 

“Jeti-jeti ini juga terletak berhampiran kawasan penginapan termasuk The Shore dan pakej ini boleh dimanfaatkan dalam masa sehari bermula dari pagi sehingga tengah malam,” katanya selepas majlis pelancaran di Taman Rempah, Banda Hilir di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap jeti berada di bawah Program Anak Angkat Jeti, di mana kemudahan itu akan dijaga oleh pihak yang dipertanggungjawabkan mengikut destinasi. 

“Sebagai contoh, Jeti Kampung Morten saya utamakan kepada Pengerusi Rumah Inap Kampung Morten, Jeti The Shore kita serahkan kepada pihak pengurusan hotel terbabit, manakala Jeti Kampung Hulu diserahkan kepada Arang Cafe yang terkenal dengan menu Cendol Kampung Hulu. 

“Tujuannya adalah supaya mereka menjadikan jeti ini sebagai sebahagian daripada kemudahan ke kawasan mereka dan secara tidak langsung dapat menarik lebih ramai pengunjung,” jelasnya. 

Tiket pakej Pit Stop MRC itu dijual pada harga RM40 bagi dewasa, kanak-kanak (RM25) dan RM30 untuk warga emas serta pelajar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya