JAKARTA: Baru-baru ini, pelakon Indonesia, Baim Wong dikecam warganet dalam media sosial gara-gara dakwaan bersikap biadap dengan peminta-peminta sedekah yang meminta wang daripadanya di pinggir jalan.
Peristiwa itu dirakam orang ramai dan video tersebut tular dalam media sosial sehingga membuatkan nama Baim Wong menjadi trending di Twitter.
Ini kerana, ramai menganggap sikap yang ditonjolkan Baim itu seakan terlalu angkuh semata-mata kerana enggan memberikan wang kepada peminta sedekah.
Kelakuan Baim juga dianggap tidak kena pada cara kerana dia kemudiannya turut dilihat memberikan teguran kepada peminta-peminta sedekah itu agar berhenti mengemis dan mula bekerja.
Sedar bahawa perkara tersebut menjadi perdebatan dan kecaman ramai, Baim tampil menjelaskan keadaan sebenar menerusi akaun Instagramnya semalam.
“Semasa kejadian, saya baru keluar dari hospital. Tiba-tiba ada orang mendekati saya dengan menaiki motosikal. Saya sedang berjalan dan dia pula semakin menghampiri. Itu membahayakan apatah lagi ketika itu, saya sedang membawa anak.
“Tiba-tiba, orang itu meminta wang dengan saya dengan cara yang tidak sopan. Semasa saya menaiki motor dengan Kiano (anak), lelaki tersebut berteriak ‘Baim minta wang!’. Jujurnya saya paling kesal dengan orang sebegitu. Lalu, saya teruskan perjalanan ke rumah,” katanya.
Menurut pelakon ini, ‘drama’ peminta sedekah itu tidak terhenti di situ apabila dia kemudian membuat kisah sedih agar meraih rasa hiba dan simpati orang ramai.
“Saya banyak sangat menemukan orang yang anti pengemis. Saya tak suka orang jadikan kelemahan mereka itu untuk minta wang daripada saya,” katanya.
Dalam pada itu, penjelasan Baim tersebut telah mendapat pelbagai reaksi daripada peminat dan pengikutnya di media sosial.
Ada yang memahami situasi pelakon tersebut namun ada juga yang tetap mengecam dan mendakwa Baim sekadar memberi alasan bagi menutup kebiadapannya terhadap orang yang kurang bernasib baik. – UTUSAN ONLINE