Air zamzam: Larangan hanya sementara - Utusan Malaysia

Air zamzam: Larangan hanya sementara

IDA RISWANA IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Larangan bawa pulang air zamzam dari Mekah dijangka hanya sementara berikutan Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz (KAIA) di Jeddah yang baru belum dilengkapi mesin conveyor.

Pengarah dan Penasihat Undang-undang Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Ida Riswana Idris berkata, maklumat itu diperoleh daripada beberapa syarikat penerbangan yang membawa jemaah umrah.

“Bagaimanapun, tiada halangan untuk bawa pulang air zamzam untuk jemaah umrah dari Madinah. Kita berharap larangan ini hanya sementara di Jeddah dan jemaah dapat membawa pulang air zamzam dalam sedikit masa lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas video tentang tiada lagi air zamzam untuk dibawa pulang yang tular dalam media sosial sejak semalam.

Bangunan baru Terminal 1 KAIA dengan keluasan 810,000 meter persegi dibuka untuk beberapa penerbangan domestik pada 2019. Ia dikatakan bangunan terminal yang terbesar di dunia.

Pada 18 Oktober lalu, pihak berkuasa Penerbangan Awam Arab Saudi (GACA) memaklumkan operasi lapangan-lapangan terbang di negara itu berada pada kapasiti penuh.

Ida Riswana juga memaklumkan, pihaknya sudah bersedia menguruskan kira-kira 150 jemaah umrah sepanjang Oktober ini.

Katanya, walaupun ada kira-kira 11,000 jemaah umrah dalam senarai menunggu, pihaknya perlu menyusun semula jadual berikutan banyak syarikat penerbangan menjadual semula perjalanan ke Jeddah dan Madinah

“Penerbangan kami yang seterusnya adalah pada 30 Oktober ini yang akan dipimpin oleh Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md. Daud Che Ngah bersama 100 jemaah,” katanya.

Ida Riswana berkata, para jemaah kini juga boleh memohon melakukan umrah kedua dalam tempoh 24 jam selepas umrah pertama.Ia berikutan kerajaan Arab Saudi sudah pun memansuhkan peraturan tempoh menunggu 15 hari untuk menempah umrah yang berikutnya, baru-baru ini.

“Bagi jemaah yang datang dengan agensi umrah, permohonan itu akan diuruskan oleh agensi berkenaan,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya