PUTRAJAYA: Sejumlah lapan negeri dan satu wilayah persekutuan (WP) di seluruh negara mencatatkan kemerosotan dari segi bilangan imam yang bertugas dalam masjid serta surau.
Berdasarkan statistik terbaharu diterbitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) awal bulan ini, Sabah merekodkan angka pengurangan terbesar dengan jumlah terkini seramai 1,618 orang.
Angka itu menyaksikan defisit 13 orang berbanding 1,631 orang imam pada 31 Disember 2020 lalu diikuti Melaka yang berkurangan sebanyak 11 orang kepada 363 orang awal bulan ini.
Johor dan Kedah pula yang merosot bilangan sama sebanyak 10 orang iaitu masing-masing 1,771 dan 1,292 orang daripada 1,781 serta 1,302 orang direkodkan pada akhir tahun lepas.
Turut berlaku pengurangan imam ialah Pahang kurang empat orang lagi kepada 908 serta Perlis dan WP Kuala Lumpur defisit tiga orang masing-masing kepada 190 dan 216.
Begitu juga Pulau Pinang yang dicatatkan telah kurang tiga orang kepada jumlah terkini sebanyak 412, manakala Negeri Sembilan pula merosot dua orang kepada 583.
Dalam pada itu WP Labuan dan WP Putrajaya menyaksikan pengekalan bilangan imam yang masih sama dengan angka akhir tahun lepas iaitu masing-masing sebanyak 37 dan 15 orang, begitu juga Kelantan dan Sarawak konsisten iaitu masing-masing sebanyak 941 serta 615 orang.
Agensi berkenaan tidak pula melaporkan sebab berlaku kemerosotan itu namun ia dipercayai kemungkinan atas faktor meninggal dunia atau bersara selain ada ditamatkan perkhidmatan.
Sementara baki tiga negeri lagi di negara ini merekodkan peningkatan jumlah imam dengan Terengganu merekodkan pertambahan terbesar iaitu 43 orang kepada angka terbaharu 1,034, diikuti Perak meningkat 19 orang kepada 1,314 manakala Selangor sejumlah 771 dengan pertambahan seorang.
Setakat ini, Jakim merekodkan sebanyak 6,512 masjid dan 18,267 surau di seluruh negara yang diperakui pihak jabatan agama Islam negeri untuk umat Islam menunaikan solat jemaah. – UTUSAN ONLINE