PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan sebanyak 156 bahan aduan melibatkan 62 syarikat produk susu formula bayi, makanan pelengkap bayi dan peralatan penyusuan yang dibincangkan dalam tempoh dua tahun lalu.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, syarikat tersebut dikenakan tindakan penalti seperti amaran bertulis, penggantungan penapisan bahan untuk satu ke dua tahun serta pemberitahuan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
“Tindakan lain iaitu pemberitahuan kepada Persatuan Antarabangsa Pengeluar-Pengeluar Makanan bayi, kenyataan akhbar dan terakhir disenarai hitam bagi pelanggaran Tata Etika Pemasaran Makanan Bayi dan Produk Berkaitan yang diadukan.
“Sehubungan itu, KKM mengingatkan semua syarikat produk susu formula bayi, makanan pelengkap bayi dan peralatan penyusuan agar sentiasa mematuhi amalan etika yang ditetapkan di dalam Tata Etika Pemasaran Makanan Bayi dan Produk Berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, KKM melaksanakan Tata Etika Pemasaran Makanan Bayi dan Produk Berkaitan sejak tahun 1979 berdasarkan kepada ‘International Code of Breast-milk Substitutes’ dan resolusi-resolusi ‘World Health Assembly’ yang berkaitan.
Tambah Khairy, matlamat pelaksanaan tata etika tersebut adalah untuk melindungi dan mempertahankan amalan penyusuan susu ibu serta melindungi golongan ibu daripada pengaruh promosi dan pengiklanan produk berkaitan yang tidak beretika.
“Antara langkah diambil Bahagian Pemakanan KKM di bawah tata etika tersebut adalah melalui aktiviti pemantauan berterusan yang dijalankan di setiap negeri,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE