1,528 pelajar baharu kini sebahagian keluarga UMP - Utusan Malaysia

1,528 pelajar baharu kini sebahagian keluarga UMP

YUSERRIE Zainuddin (depan, kanan) bersama barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bermesra dengan para pelajar baharu dalam sesi program Bicara Naib Canselor bersempena Minggu Induksi Siswa yang berlangsung secara dalam talian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seramai 1,528 pelajar baharu yang mendaftar bagi mengikuti pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Malaysia Pahang (UMP) bagi sesi akademik 2021/2022 merupakan sebahagian keluarga besar UMP yang terdiri daripada ahli lembaga pengarah universiti, pihak pengurusan, pensyarah, pakar bidang, penyelidik, pentadbir, pelajar dan alumni.

Semua pihak umpama anggota dalam sesebuah keluarga perlu saling hormat-menghormati, bertanggungjawab, berpegang kepada amanah dan berusaha mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia khususnya dalam keadaan pandemik ketika ini dan sedang menuju ke fasa endemik Covid-19.

Prinsip atau nilai teras sentiasa menjadi pegangan keluarga UMP terdiri daripada hubungan yang kuat dengan maha Pencipta, teguh dalam mempertahankan prinsip yang disepakati, kreatif dalam membuat keputusan yang bijaksana, cekal dalam menghadapi cabaran dan proaktif dalam tindakan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP berkata, pihak universiti merakamkan penghargaan syabas buat semua pelajar yang terpilih menjadi sebahagian daripada keluarga besar UMP.

“Dengan peluang ditawarkan, maka setiap pelajar perlu mencorakkan masa depan atas kadar ikhtiar dan iltizam masing-masing. Kehidupan kampus menuntut pelajar bijak mengisi masa sepanjang pengajian dan pelajar yang cemerlang tidak hanya hebat di dewan kuliah atau makmal malah cergas dalam aktiviti kokurikulum,” katanya dalam program Bicara Naib Canselor bersempena Minggu Induksi Siswa yang berlangsung secara dalam talian menerusi laman rasmi FB UMPMalaysia dan Youtube UMPTV di sini hari ini. 

Yuserrie dalam pada itu turut menyarankan agar pelajar mengambil peluang menyertai aktiviti kelab atau persatuan sebaik sahaja kembali ke kampus kelak. 

“Terdapat 70 badan pelajar yang berdaftar yang boleh disertai sama ada berteraskan sukan, kebudayaan, rekreasi, inovasi, kepimpinan, pengucapan awam, khidmat komuniti dan keusahawanan.

“Jadikanlah pembelajaran di universiti sebagai pemecah tembok yang menghalang interaksi harmoni disebabkan stigma kaum, agama dan kenegaraan. Kita hendaklah mewujudkan semangat kekitaan dalam konteks keluarga besar UMP,” ujarnya. 

UMP menawarkan 41 program pengajian pada pengambilan kali ini termasuk tujuh program baharu iaitu Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) dengan Kepujian, Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Reka Bentuk dan Analisis) dengan Kepujian, Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Minyak dan Gas) dengan Kepujian yang ditawarkan di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA). 

Lain-lain program baharu yang ditawarkan pada semester ini ialah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan  Pembuatan (Automasi Industri) dengan Kepujian dan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekatronik (Robotik) dengan Kepujian di bawah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM).

Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Awam (Bangunan) dengan Kepujian pula ditawarkan di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) dan Sarjana Muda Analitis Perniagaan dengan Kepujian ditawarkan oleh Fakulti Pengurusan Industri (FPI).

Universiti juga sentiasa komited mencipta inovasi dan keunikan dalam penawaran program akademik melalui jalinan strategik di peringkat antarabangsa yang sentiasa ditambah nilai melalui proses penanda aras secara berterusan menggunakan model bertaraf dunia seperti program kerjasama dengan Karlsruhe University of Applied Science (HKA), Jerman.

Yuserrie turut mengingatkan pelajar yang akan kembali ke kampus secara berperingkat bermula 15 Oktober ini agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Dijangkakan seramai 5,000 pelajar berkeperluan dengan beberapa kategori akan dibenarkan kembali ke universiti secara fizikal bagi menjalani aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara hibrid (dalam talian dan bersemuka) bagi memulakan sesi pengajian semester baharu bermula 11 Oktober lalu. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN