PETALING JAYA: Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (Akept) akan menganjurkan Program Bicara Kenegaraan 2021 dengan mengetengahkan dua tajuk iaitu ‘Pendidikan Tinggi Negara: Merdekakah Kita?’ dan ‘Berfikiran Global, Bertindak Lokal: di Mana dan ke Mana Kita?’ secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom esok.
Pengarah Program Bicara Kenegaraan 2021, Prof. Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, bicara itu menampilkan barisan panel berwibawa iaitu Tan Sri Datuk Dr. Nordin Kardi (Universiti Sultan Azlan Shah), Prof. Datuk Dr. Norzaini Azman (Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia) dan Dr. Abdul Razak Ahmad (Pengarah Pengasas Bait Al-Amanah).
Selain itu, Prof. Dr. Zaid Ahmad (Universiti Putra Malaysia), Prof. Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman (Universiti Malaya), Ts Zainab Ahmad (Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti), Prof. Madya Dr. Janice Nga (Universiti Sains Malaysia) dan Prof. Dr. Ismi Arif Ismail (Universiti Putra Malaysia).
“Kedua-dua sesi bicara ini akan dipengerusikan saya sendiri dan Prof. Madya Dr. Mohd Mahadee Ismail daripada UPM. Program ini menyasarkan penyertaan dalam kalangan pemimpin di institusi pengajian tinggi sama ada di peringkat universiti, politeknik dan kolej komuniti serta orang awam.
“Program ini akan dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Mazlan Yusoff dan beliau turut menyempurnakan prapelancaran buku bertajuk Suara Intelek Awam Pembina Negara Malaysia yang merupakan hasil penerbitan daripada program Bicara Kenegaraan tahun 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Mohd. Izani berkata, dasar dan polisi pendidikan tinggi yang baik mampu mengimbangi tuntutan global dan kepentingan negara seperti penghasilan insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi serta mencipta kemakmuran bersama melalui pertumbuhan ekonomi.
Justeru, kata beliau, ilmu tempatan juga penting untuk dijana agar tidak lagi bergantung sepenuhnya dengan ilmu barat.
“Kita percaya dengan faktor sistem pendidikan tinggi yang memenuhi agenda nasional dan kekuatan ilmu lokal, kita mampu memerdekakan pendidikan tinggi negara. Pembangunan negara bangsa bergantung kepada kekuatan ilmu dimiliki masyarakat khususnya kumpulan intelektual.
“Kita perlu beranjak daripada paradigma ilmu untuk ilmu kepada ilmu untuk masyarakat. Kesepaduan ilmu sangat kritikal dalam kita membangunkan negara terutama dalam situasi sukar ketika ini mengekang penularan pandemik Covid-19.
“Negara perlu memanfaatkan kepakaran ahli akademik dan kumpulan intelek awam agar mereka boleh menyumbang kepada kemakmuran Malaysia. Bidang-bidang seperti perubatan dan kesihatan awam, ekonomi, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dan sains sosial sangat penting menjadi ramuan kepada kelangsungan Malaysia,” katanya.
Pada masa yang sama, Mohd. Izani berkata, keperluan berfikir di luar kotak dan melihat amalan terbaik di luar adalah amat penting asalkan ia kembali menyumbang dan memenuhi keperluan negara dan dalam hal ini, konsep ‘Berfikiran Global, Bertindak Lokal’ boleh menjadi pendekatan terbaik dalam memacu pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat. – UTUSAN ONLINE