Tular peringatan semula fatwa hindari gaya rambut qaza’ - Utusan Malaysia

Tular peringatan semula fatwa hindari gaya rambut qaza’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Meskipun isu ini sudah lama diketahui, namun, peringatan semula Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berhubung hukum rambut bergaris tular diperkatakan ramai warganet.

 

Malahan, hantaran dimuat naik agensi di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu turut popular apabila meraih lebih 3,500 tanda suka sekali dikongsi netizen hampir 1,300 kali.

 

“Alhamdulillah, isu inilah buat orang Islam terpesong akidah, perkongsian ini tepat waktunya kerana ramai ke kedai gunting rambut berbanding ke masjid,” coret Abdul Rahman Jainudin.

 

“Cantik ada stail, tapi sudah tahu tidak boleh, maka, lupakanlah hasrat walaupun untuk anak kecil sebab tengok ramai anak muda gaya rambut sebegitu,” luah Rabiatul Adawiyah Ibrahim.

 

“Apa yang agama kita jelas larang itu yang hendak pula dibuat. Islam ada garis panduan tertentu bagi diikuti dan jangan tiru perlakuan orang bukan Islam,” komen Mohammad Shukran.

 

Pejabat berkenaan turut melampirkan risalah secara elektronik setebal enam halaman bagi memberi penjelasan padat mengenai hukum gaya rambut bercorak itu atau pun disebut qaza’ yang mengandungi tiga gambar contoh potongan sedemikian yang antaranya termasuklah fesyen skin fade, taper fade, flat top, pompadour, upper cut, under cut, crew cut dan mid fade.

 

Secara ringkas, pejabat tersebut memaklumkan bahawa qaza’ dari pengertian syarak bermaksud tindakan mencukur sebahagian rambut tanpa sebahagian yang lain sengaja ditinggalkan.

 

Perkara ini turut dibahaskan ramai ulama muktabar antaranya Imam al-Nawawi menerusi kitab fiqh masyhur tulisannya iaitu Manhaj Syarah Muslim bagi memperincikan tegahan berkenaan yang turut bersandarkan dalil daripada hadis Rasulullah SAW sendiri yang diriwayatkan Ubaidullah Hafiz dan turut disenaraikan dalam kitab himpunan Sahih al-Bukhari.

 

Bagaimanapun, pejabat itu turut mengesahkan ada pandangan cendekiawan Islam yang masih berpendapat hukumnya makruh iaitu dibenci Allah berdasarkan kitab Raudhah al-Talibin.

 

Justeru, ia merumuskan jumhur ulama bersepakat bahawa potongan gaya rambut qaza’ adalah perbuatan hukum makruh sekiranya dilakukan di tempat berbeza atau tempat yang sama, namun, ia diharuskan atas tujuan perubatan seperti berbekam dan hukum ini terpakai kepada lelaki dan perempuan, tetapi tegasnya adalah lebih afdal dengan menghindari terus qaza’. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN