KUALA LUMPUR: Orang ramai termasuk anak perempuan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi diingatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang komen dalam laman sosial berkaitan perbicaraan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri yang kini didengar di Mahkamah Tinggi.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah ketika menegur Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid, 42, menyatakan, sebarang ulasan yang bersifat `sub-judice’ tidak sepatutnya dibuat pada peringkat ini kerana perbicaraan masih berlangsung dan belum diputuskan oleh mahkamah.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran membangkitkan isu hantaran yang dibuat oleh pemilik akaun Instagram atas nama nurul.zahid menyentuh isu imuniti yang dihujahkan oleh pihak pembelaan, Isnin lalu.
Menurut Raja Rozela, komen tersebut yang dikeluarkan semalam adalah tidak berasas dan memprejudiskan pihak pendakwaan dan prosiding yang sedang berlangsung.
Hujah beliau, pemilik akaun tersebut memperlekeh-lekehkan undang-undang kerana isu imuniti yang disentuhnya masih dalam pertimbangan mahkamah dan belum diputuskan.
Ujar Raja Rozela, tindakan pemilik akaun tersebut adalah bersifat `sub-judice’ dan mahkamah perlu menghalang beliau dan pihak-pihak lain daripada mengeluarkan sebarang ulasan berkaitan kes pada bila-bila masa.
“Pada ketika ini, pihak pendakwaan tidak menerima arahan untuk mengemukakan permohonan agar tindakan menghina mahkamah dikenakan terhadapnya, namun memadai agar orang awam diberi peringatan supaya tidak mengeluarkan sebarang komen,” ujar beliau.
Sementara itu, peguam Hamidi Mohd. Noh yang mewakili Ahmad Zahid memohon maaf kepada mahkamah dan memberi jaminan untuk memaklumkan kepada Nurulhidayah agar memadam hantaran tersebut jika mahkamah menghendakinya berbuat demikian.
Dalam pada itu, semakan yang dijalankan terhadap laman Instagram milik Nurulhidayah menunjukkan pemilik akaun itu menyatakan permohonan maaf manakala hantaran tersebut telah dipadam.
Pihak pendakwaan membangkitkan isu berkenaan sebelum mahkamah mendengar penghujahan kes Ahmad Zahid yang menghadapi 47 pertuduhan iaitu 27 pertuduhan pengubahan wang haram, 12 pecah amanah dan lapan rasuah melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Presiden UMNO itu didakwa menggunakan dana tersebut untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.
Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.
Ahmad Zahid, 68, juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018. -UTUSAN ONLINE