Tanah runtuh: Jangan tekan mangsa dengan prosedur undang-undang - Utusan Malaysia

Tanah runtuh: Jangan tekan mangsa dengan prosedur undang-undang

PETUGAS media menunggu perkembangan terkini di jalan masuk ke kediaman penduduk yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Height, Ampang, Selangor. - UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG: Penghuni rumah banglo yang terlibat dengan kejadian tanah runtuh di Kemensah Height, di sini tidak wajar ditekan dengan tindakan undang-undang walaupun bencana itu berlaku dalam kawasan tanah persendirian.

Tindakan sedemikian didakwa boleh diambil apabila pemilik tanah terutama dekat kawasan berbukit bertanggungjawab melakukan pemeriksaan dan pemantauan pergerakan tanah pada cerun bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh.

Sebaliknya,  keselamatan nyawa dan harta benda perlu diutamakan ketika ini memandangkan kejadian ini adalah pertama kali berlaku.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perumahan Kemensah Height yang terletak berhampiran Bukit Antarabangsa adalah kawasan dalam pemantauan cerun oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan kerap berlaku tanah runtuh.

Namun, katanya, kawasan itu bukan dalam senarai pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jabatan lain untuk membuat pemantauan secara khusus terhadap pergerakan tanah di perumahan berhampiran cerun.

“Walaupun unit persendirian, tetapi ini bencana. Maknanya kita boleh aktifkan unit bencana daerah untuk melaksanakan siasatan yang diperlukan. Tetapi, nanti proses pemulihan sudah pasti turut melibatkan kepada pemilik lot ataupun pemilik premis masing-masing.

“Sudah tentu, MPAJ akan semak semua dokumen yang mereka ada. MPAJ akan buat kajian jugai pada Rabu nanti dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTENS) supaya kita boleh buat analisis,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kejadian tanah runtuh di Kemensah Height dilaporkan berlaku malam tadi kira-kira pukul 9.30 melibatkan 27 buah rumah termasuk tiga lot banglo di bahagian atas dan 24 unit rumah bandar yang terletak di bahagian bawah.

Amirudin menjelaskan, dalam pemerhatian awal, bencana itu dilaporkan berlaku bermula pada unit banglo Nombor 8 di Jalan 7 apabila tanah yang menempatkan sebuah kolam renang dan bangunan satu tingkat di bahagian belakang banglo terbabit menggelongsor.

Selain terdapat kesan pergerakan terhadap unit banglo Nombor 6 dan 10, runtuhan tanah terbabit turut menimbusi Sungai Kemensah sehingga menyebabkan aliran sungai terhalang dan kejadian banjir terjadi di kawasan rumah bandar.

Susulan kejadian itu dilaporkan sebanyak 27 keluarga diarahkan berpindah ke pusat penempatan sementara di dua dewan yang disediakan di AU2 dan AU5, Lembah Keramat, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, mereka dilaporkan enggan berpindah ke sana sebaliknya memilih untuk tinggal sementara di rumah saudara dan rakan berhampiran serta hotel bagi mengelakkan berkumpul di tempat terlalu ramai ketika pandemik Covid-19. Namun tiada kematian dilaporkan.

Dalam pada itu, Amirudin  mengumumkan bantuan awal sebanyak RM500 kepada keluarga terlibat yang diberikan segera hari ini bagi meringankan beban mereka seperti mendapatkan keperluan asas dan proses pemindahan sementara.

“Sementara itu, pihak MPAJ akan membantu membersihkan kawasan runtuhan dan Jabatan Pengairan dan Saliran akan korek sungai yang tertimbus untuk mengelakkan masalah lain seperti banjir di kawasan atas ataupun aliran Sungai Kemensah sepanjang Sungai Kemensah yang lain.

“Buat masa ini kita memerlukan sekitar dua atau tiga hari pihak JMG akan membuat kajian dan juga membuat analisa sama ada kawasan ini selamat ataupun tidak didiami,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya