Sukarelawan PPV berpakaian tradisional hayati kemerdekaan - Utusan Malaysia

Sukarelawan PPV berpakaian tradisional hayati kemerdekaan

SUKARELAWAN berpakaian tradisional pelbagai kaum bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan di PPV Hotel De Palma di Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN / ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bukan perang mengangkat senjata, tetapi melawan musuh yang tidak dilihat dengan mata kasar iaitu virus Covid-19 menjadi perjuangan yang dipegang para sukarelawan di pusat pemberian vaksin (PPV) seluruh negara termasuk di negeri ini.

Malah, sambutan Hari Kebangsaan walaupun tidak semeriah dahulu tetap menaikkan semangat para sukarelawan untuk terus bertugas bersama rakyat dalam memerangi pandemik Covid-19.

Berkongsi pengalaman ketika bertugas, seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Pelancongan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Siti Nurhijanah Ja’afar Kamal, 22, berkata, misinya adalah menjayakan matlamat imuniti kelompok lebih daripada 80 peratus.

Katanya, semalam dia dan rakan sukarelawan berpakaian baju kurung dan tradisional bagi menyuntik suasana sambutan kemerdekaan.

“Saya rindukan saat dapat bersama rakan-rakan menyambut Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka dan menyaksikan perbarisan yang berwarna-warni,” katanya di PPV Hotel De Palma Inn Seksyen 19, di sini semalam.

Siti Nurhijanah yang sudah dua bulan bertugas di PPV tersebut berharap Malaysia akan ‘merdeka’ daripada dibelenggu Covid-19 tidak lama lagi.

Seorang lagi sukarelawan, R.Ramesh,45, berharap rakyat Malaysia menjaga prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) seandainya keluar ke mana-mana semasa cuti hari merdeka.

“Sebaiknya duduk di rumah sahaja jika tiada urusan penting di luar. Kami berada di luar bagi memastikan lebih ramai menerima vaksin,” katanya.

Sementara itu, Mohd.Khairul Imann Mohd.Khairani,19, berkata , sudah dua tahun Covid-19 menyebabkan dia tidak dapat meraikan kemerdekaan dan bebas bergerak seperti dahulu.

“Saya adalah pelajar Pusat Matrikulasi Gopeng dan menyertai sukarelawan SelVax untuk memastikan imuniti kelompok dapat diwujudkan segera.

“Selain rindu meraikan merdeka di luar, semua orang rindu untuk lepak restoran mamak. Hari ini saya memakai baju Melayu untuk mengubati kerinduan tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya