Sudah empat kali banjir tahun ini - penduduk - Utusan Malaysia

Sudah empat kali banjir tahun ini – penduduk

KEADAAN banjir yang melanda beberapa buah kampung di Sungai Siput semalam. - UTUSAN/IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Sepasang suami isteri tidak sempat menjual roti canai selepas kedai mereka dinaiki air dalam kejadian banjir di Kampung Lintang di sini semalam.

Taib Ismail, 62, bersama isterinya, Latifah Abu Bakar, 62, terpaksa menanggung kerugian apabila lebih 100 biji roti canai yang telah siap diuli, tidak dapat dijual selepas air memasuki kedai mereka sehingga paras pinggang.

Menurutnya, dia tidak menyangka air memasuki kedainya begitu cepat kerana kawasan itu sering dilanda banjir namun biasanya air tidak melebihi paras betis.

“Lebih kurang pukul 2 pagi tadi, saya selesai uli roti canai. Baru hendak mandi tapi dengar orang ketuk pintu berteriak air laju, air naik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Taib berkata, banjir kali ini merupakan yang kedua terburuk selepas banjir besar pada tahun 2014, yang menyebabkan kedainya hampir tenggelam.

“Masa itu memang kami tak dapat selamatkan apa-apa pun, habis barang elektrik, peralatan kedai dan kerugian ditanggung bukan sedikit,” katanya.

Sementara itu, Latifah berkata, kejadian banjir kali ini merupakan kali keempat berlaku pada tahun ini dan merupakan yang paling teruk kerana air melebihi paras pinggang.

“Banjir semakin kerap berlaku di sini dan saya berharap pihak terlibat dapat melihat perkara ini dengan serius,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir, Mohamad Arif Rusly, 57, berkata, sekitar tahun 70-an hingga 90-an, kampung itu jarang dilanda banjir berbanding sekarang.

Katanya, keadaan itu amat membimbangkan penduduk walaupun mereka pernah menyuarakan masalah tersebut kepada pihak berkenaan.

“Sampai bila kami perlu hadapi masalah sama akibat daripada pihak tidak bertanggungjawab terutamanya aktiviti pembalakan sekitar sini.

“Saya harap sungai yang cetek dikorek dan bina ban di sungai yang ada supaya air tidak melimpah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya