SUNGAI PETANI: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan empat individu termasuk tiga beranak dan merampas sejumlah dadah jenis syabu seberat 54.7205 kilogram (kg) yang bernilai hampir RM2.19 juta dalam tiga serbuan berasingan di sini, Isnin lalu.
Menerusi serbuan yang dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah itu, polis turut menyita enam buah kenderaan, sejumlah wang tunai dan wang dalam akaun bank dengan jumlah keseluruhan harta yang disita berjumlah RM709, 087.80.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, seramai empat individu yang ditahan termasuk seorang wanita itu berusia antara 30 hingga 70.
Beliau berkata, tangkapan pertama dibuat pada pukul 8.10 pagi ketika suspek pertama dan kedua yang berusia 30 dan 41 tahun itu masing-masing sedang berada di dalam kereta Mitsubishi Triton dan Honda City di hadapan sebuah rumah di Bandar Amanjaya di sini.
“Pemeriksaan lanjut di dalam kereta Mitsubishi Triton tersebut menemui 54 bungkusan plastik berisi dadah disyaki jenis syabu yang diletakkan di dalam dua guni dan satu plastik hitam dengan berat keseluruhannya dianggarkan berjumlah 54.7205 kg,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini hari ini.
Katanya, susulan tangkapan itu, polis berjaya menahan seorang suspek wanita berusia 36 tahun di sebuah rumah di Bandar Amanjaya pada pukul 8.30 pagi dan suspek keempat berusia 70 tahun ditahan di sebuah premis di Pusat Komersial Saujana di sini pukul 9 pagi.
“Hasil siasatan juga mendapati, suspek berusia 70 tahun itu adalah bapa kepada dua lagi suspek, iaitu suspek wanita berusia 36 tahun dan suspek lelaki berusia 30 tahun.
“Ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek adalah negatif namun dua daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya.
Tambahnya, dadah tersebut dipercayai diperoleh dari negara jiran untuk diedarkan ke pasaran negeri-negeri di kawasan utara.
“Syabu tersebut jika terlepas ke pasaran boleh digunakan kira-kira 547,000 penagih,” ujarnya.
Beliau berkata, suspek tiga beranak yang ditahan juga dipercayai menjalankan perniagaan makanan sejuk beku di sini untuk menutup aktiviti pengedaran dadah yang mereka lalukan.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dan kesemua suspek masing-masing direman antara tiga hingga tujuh hari, bermula tarikh tangkapan, bagi membantu siasatan,” ujarnya. – UTUSAN