GUA MUSANG: Seramai 1,567 murid taman bimbingan kanak-kanak (tabika) dan taman asuhan kanak-kanak (taska) di daerah ini menyambut Hari Kebangsaan secara maya, semalam.
Meskipun menggunakan pendekatan norma baharu menerusi aplikasi Zoom ekoran kekangan pandemik Covid-19, kemeriahan tetap dirasai.
Penolong Pegawai Pendidikan Awal Kanak-Kanak Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Daerah, Norizan Yaakub berkata, program itu membabitkan 72 tabika dan lima taska di seluruh daerah ini.
Selain sambutan secara maya, katanya, kesemua tabika dan taska terbabit termasuk di kawasan penempatan Orang Asli tetap dihias dengan Jalur Gemilang bagi membangkitkan semangat patriotik orang ramai.
“Mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, kami hanya mengadakan sambutan secara virtual.
“Bagi memeriahkan sambutan, para guru dan murid menyanyikan lagu patriotik menggunakan aplikasi Zoom,” katanya ketika ditemui di Tabika Nur Aiman di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Sungai Terah di sini.
Seorang pendidik Kemas, Siti Arfah Inche Jaafar, 29, berkata, dia dan rakan-rakan tetap bersemangat walaupun hanya mengibar bendera dan menyanyi lagu patriotik secara dalam talian.
“Sejak awal Ogos lalu, kami guru Kemas bertungkus-lumus memasang bendera dan menghias premis Tabika dan Taska masing-masing bagi memeriahkan sambutan Bulan Kemerdekaan serta membangkitkan semangat patriotik,” katanya. – UTUSAN ONLINE